Operasi Airbus, Boeing pacu industri aeroangkasa Malaysia capai hasil RM30 bilion tahun ini – MITI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Operasi Airbus, Boeing pacu industri aeroangkasa Malaysia capai hasil RM30 bilion tahun ini – MITI

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 11 Sept – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) optimis hasil industri aeroangkasa mampu mencecah RM30 bilion tahun ini, berbanding RM25.1 bilion yang dicatatkan pada 2024.

 

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata keyakinan itu berasaskan prospek semasa serta perkembangan positif dalam projek dan saluran pelaburan sedia ada.

 

“Industri aeroangkasa menunjukkan perkembangan pesat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan MyAERO Summit 2026 serta sambutan ulang tahun ke-10 National Aerospace Industry Corporation (NAICO) Malaysia di sini, hari ini.


 

National Aerospace Industry Corporation

 


Dalam ucaptama beliau, Tengku Zafrul berkata hasil industri aeroangkasa tahun lalu yang mencecah RM25.1 bilion adalah yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun, selain menyokong 30,000 tenaga kerja mahir dalam ekosistem aeroangkasa negara.

 

Menurutnya, Malaysia telah menyaksikan kemasukan pelaburan baharu yang membentuk landskap aeroangkasa negara dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk peluasan operasi Airbus dan Boeing, serta kepimpinan CTRM (Composites Technology Research Malaysia) dalam pembuatan komposit yang membekalkan komponen kritikal kepada pengeluar peralatan asal (OEM) global.

 

“Semua ini mencerminkan keyakinan pelabur asing dan domestik terhadap keupayaan Malaysia yang semakin berkembang sebagai hab pembuatan aeroangkasa berteknologi tinggi dan bernilai tambah di Asia Pasifik,” katanya.

 

Mengenai MyAERO Summit yang bakal berlangsung pada Jun 2026, beliau berkata acara itu akan menjadi pintu masuk antarabangsa penting bagi teknologi, perniagaan dan jaringan bakat dalam sektor aeroangkasa, sekali gus menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan serantau termasuk OEM global, pemain tempatan, pembuat dasar, penyelidik dan tenaga mahir.

 

MyAERO Summit 2026 juga akan memperkukuh penglibatan bersama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta rakyat. Adalah sama penting untuk masyarakat umum menyedari peluang besar dalam sektor ini, bukan sahaja untuk menggalakkan jalinan kerjasama perniagaan-ke-perniagaan, tetapi juga menarik lebih ramai bakat STEM,” jelasnya. - DagangNews.com