KUALA LUMPUR 19 Jan — OpenSys (Malaysia) Berhad memperoleh tempahan bagi pembekalan mesin kitar semula tunai (CRM) bernilai RM22.05 juta, daripada pelanggan sedia ada, Reachful Malaysia Sdn Bhd.
Kumpulan rumusan teknologi maklumat (IT) itu menambah, kejayaan penerimaan tender baharu tersebut sekali gus mengukuhkan lagi keterlihatan pendapatan syarikat berkenaan bagi tahun kewangan 2026.
"Tempahan pembelian (PO) diterima pada 16 Januari 2026, dengan Reachful sebelum ini pernah dikenali sebagai Abadi Tambah Mulia Internasional Malaysia Sdn Bhd," maklum OpenSys kepada Bursa Malaysia.
Ia merupakan firma teknologi kewangan dan perkhidmatan dengan fokus penyediaan serta pengoperasian CRM, yang berfungsi sebagai gabungan Mesin Teler Automatik (ATM) dan Mesin Deposit Tunai (CDM).
Menurut OpenSys, jumlah nilai PO itu, tidak termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST), dengan penghantaran mesin dibuat secara berperingkat dan dijangka selesai menjelang 31 Disember 2026.
Lembaga pengarah menyatakan risiko yang berkaitan dengan kontrak tersebut adalah risiko biasa perniagaan termasuk risiko operasi, gangguan rantaian bekalan dan turun naik kos bahan mentah.
"Segala permasalan berkenaan akan ditangani melalui langkah mitigasi sewajarnya, namun selain risiko operasi biasa, tiada risiko material lain yang dikenal pasti," kata kumpulan tersebut.
Dari segi kewangan, PO itu tidak memberi kesan kepada modal saham terbitan atau pegangan pemegang saham utama, namun dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham.
OpenSys turut mengesahkan tiada pengarah atau pemegang saham utama, termasuk individu berkaitan, memiliki kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak pembelian itu. - DagangNews.com








