KUALA LUMPUR 14 Jan – OGX Group Berhad, menandatangani perjanjian penajaan jamin dengan UOB Kay Hian (M) Sdn Bhd selaku penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan, bersempena tawaran awam permulaan (IPO) serta penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
Kumpulan rumusan infrastruktur IT yang beroperasi menerusi model berteras jenama, bersama anak syarikatnya memfokuskan penyampaian rumusan infrastruktur IT merangkumi rangkaian, keselamatan siber dan teknologi pusat data perusahaan, beroperasi dalam ekosistem berteras jenama.
Dalam kenyataan hari ini, OGX yang disokong menerusi portfolio 18 produk khusus menambah, syarikat tersebut berada pada kedudukan kukuh untuk memenuhi keperluan pelanggan merentas pelbagai industri dan persekitaran operasi.
Menurut OGX, kumpulan itu mengamalkan model perniagaan perniagaan-ke-perniagaan (B2B) dengan urus niaga utama bersama penyepadu sistem, sambil memperkasakan rakan niaga melalui rumusan menyeluruh hujung-ke-hujung termasuk jaminan produk dan perkhidmatan sokongan khusus.
Strategi berteras jenama ini mencerminkan keyakinan prinsipal jenama terhadap OGX serta mengukuhkan kedudukannya sebagai pengedar sah yang dipercayai.
Dengan rekod operasi 19 tahun sejak memulakan perniagaan pada 2007, OGX membina hubungan jangka panjang berasaskan pelaksanaan konsisten, kebolehpercayaan dan kepercayaan.
IPO OGX merangkumi terbitan awam 150.0 juta saham baharu, bersamaan 20.0% daripada modal saham terbitan diperbesarkan.
Pengagihan saham terbitan awam adalah seperti berikut:
• 37.50 juta saham untuk permohonan orang awam Malaysia;
• 18.75 juta saham untuk pengarah, pengurusan kanan utama, pekerja dan pihak yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan;
• 75.00 juta saham melalui penempatan persendirian kepada pelabur institusi dikenal pasti dan/atau pelabur terpilih; dan
• 18.75 juta saham melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera dikenal pasti yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Selain terbitan 150.0 juta saham baharu, IPO ini turut melibatkan tawaran jualan 75.0 juta saham sedia ada, bersamaan 10.0% daripada modal saham terbitan diperbesarkan, untuk diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera dikenal pasti yang diluluskan MITI.
Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif OGX, Tan Ting Fong berkata, permulaan yang menggalakkan ini menandakan satu bab bermakna dalam perjalanan OGX Group dan mencerminkan keyakinan penasihat serta rakan niaga terhadap model perniagaan kumpulan.
“Ia dibina dengan matlamat memastikan tiada satu pun titik kegagalan melalui portfolio jenama yang dipilih rapi sebagai teras operasi. Disokong prospek pertumbuhan jangka panjang, syarikat percaya IPO ini akan mengukuhkan kedudukan daya saing OGX dan memperluas keupayaan kumpulan untuk merebut peluang yang lebih luas dan strategik pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif merangkap Pengarah Urusan OGX, Tan Suan Loong berkata, penandatanganan perjanjian penajaan jamin merupakan langkah penting ke arah penyenaraian di Pasaran ACE.
“Beroperasi di bawah model berteras jenama, syarikat bekerjasama rapat dengan 18 jenama global infrastruktur IT bagi menyampaikan rumusan yang boleh dipercayai, selamat dan berskala merentasi rangkaian, keselamatan siber dan infrastruktur pusat data perusahaan,” katanya.
Menurut beliau, OGX dibina dengan tujuan jelas, memperkasa masa depan, yang terus memandu sokongan kepada penyepadu sistem dalam memenuhi keperluan pengguna akhir yang sentiasa berkembang merentas pelbagai industri.
“Menjelang penyenaraian dan seterusnya, syarikat kekal fokus memperkukuh perkongsian dengan prinsipal jenama dan penyepadu sistem, melabur dalam modal insan serta membina model perniagaan berteras jenama yang mampan, berteraskan Malaysia dan bersedia meneroka peluang domestik serta serantau selari dengan ekonomi digital yang berkembang,” katanya. - DagangNews.com








