NPE 2: Peluang IJM kukuhkan pendapatan tol jangka panjang, tingkatkan nilai aset infrastruktur - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

NPE 2: Peluang IJM kukuhkan pendapatan tol jangka panjang, tingkatkan nilai aset infrastruktur - MBSB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 6 Nov - IJM dijangka mampu memperkukuhkan aliran pendapatan tol jangka panjang serta meningkatkan nilai aset infrastrukturnya susulan kejayaan meraih projek Lebuhraya Baru Pantai (NPE 2) bernilai RM1.4 bilion, menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sebagai sebahagian daripada kelulusan kerajaan pada Mei lalu, konsesi NPE sedia ada akan disusun semula dengan kadar tol dikekalkan sehingga tempoh lanjutan tamat. 

 

"Langkah ini turut dilihat sebagai pemangkin kepada strategi penstrukturan aset tol IJM, yang dijangka melibatkan penjualan sebahagian pegangan bagi mengukuhkan modal kerja serta membuka ruang untuk pengembangan luar negara.

 

"Kini, IJM memiliki atau memegang kepentingan dalam enam lebuh raya bertol — NPE, BESRAYA, LEKAS, West Coast Expressway, serta dua lebuh raya di India, Swarnabhoomi Raj Expressway dan Rewa Tollway," kata firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut MBSB, setakat ini, IJM mengekalkan buku pesanan tidak berubah pada RM9.33 bilion, termasuk usaha sama antarabangsa, jumlah keseluruhan dianggarkan mencecah RM15.2 bilion.

 

IJM Construction Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh IJM Corp, baru-baru ini menerima surat anugerah daripada New Pantai Expressway Sdn Bhd bagi pembinaan NPE 2, sebuah lebuh raya bertingkat sepenuhnya sepanjang 15 kilometer yang menghubungkan Plaza Tol Pantai Dalam ke Persimpangan Jalan Istana melalui Jalan Syed Putra.

 

Projek yang dijangka bermula pada suku keempat 2025 itu akan mengambil masa 48 bulan untuk disiapkan, iaitu menjelang akhir 2029. 

 

Sehubungan itu MBSB mengekalkan saranan BELI terhadap saham IJM dengan harga sasaran tidak berubah pada RM3.60, berdasarkan unjuran EPS FY2026 sebanyak 14.8 sen dan disandarkan kepada nisbah PER 24.3 kali, selaras dengan purata tiga tahun.

 

Menurut firma itu, usaha penambahan semula buku pesanan IJM kekal berada di landasan yang kukuh, dipacu oleh projek besar seperti sambungan Lebuhraya Baru Pantai (NPE 2) bernilai RM1.4 bilion serta projek pusat data berskala besar di Elmina Business Park. 

 

Selain itu, syarikat turut berpotensi memperoleh dua kontrak inisiatif pembiayaan swasta (PFI) di Nusantara, Indonesia, yang kini dalam peringkat kajian daya maju.

 

“Gabungan momentum pengisian semula pesanan yang kukuh, margin lebih tinggi daripada projek pusat data serta peningkatan sumbangan kontrak antarabangsa seperti JRL di UK dan Hexacon di Singapura akan menjadi pemacu utama pertumbuhan pendapatan IJM bagi FY2026 hingga FY2027,” katanya.

 

Menurut MBSB, IJM turut mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh dengan nisbah hutang bersih kepada ekuiti hanya 0.26 kali, memberi ruang yang luas untuk terus menyertai bidaan projek baharu termasuk inisiatif pembiayaan swasta dan usaha sama strategik di luar negara.

 

Syarikat juga telah berjaya memperoleh RM5.03 bilion kontrak baharu bagi FY2026, mencapai had atas sasaran tahunan sebanyak RM3.0–5.0 bilion (tidak termasuk projek luar negara). 

 

Antara peluang baharu yang sedang diintai termasuk projek LRT Pulau Pinang, pengembangan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, pembangunan di Sarawak, serta blok komersial Merdeka 118.

 

Kemajuan projek di Nusantara turut menunjukkan perkembangan positif, dengan kelulusan reka bentuk telah diperoleh, dan kelulusan kajian daya maju dijangka menjelang akhir tahun ini.

 

Dengan rekod pelaksanaan yang konsisten, pendedahan yang semakin meluas kepada sektor digital berimpak tinggi, serta kedudukan kewangan yang kukuh, IJM dilihat berada di posisi terbaik untuk memanfaatkan kitaran kenaikan sektor pembinaan dan pusat data dalam tempoh dua tahun akan datang. - DagangNews.com