Nilai kontrak NIISe dinaikkan RM157.8 juta menjadi RM1.05 bilion ekoran skop kerja diperluaskan - HeiTech Padu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nilai kontrak NIISe dinaikkan RM157.8 juta menjadi RM1.05 bilion ekoran skop kerja diperluaskan - HeiTech Padu

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 17 Okt - HeiTech Padu Bhd menjelaskan kenaikan nilai kontrak projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) sebanyak RM157.8 juta berpunca daripada penambahan komponen Automated Biometric Identification System (ABIS) dalam skop kerja.

 

Menurut HeiTech Padu, skop tambahan ABIS itu merangkumi pembekalan perkakasan seperti pelayan (server) bagi pusat data dan pusat pemulihan bencana, lesen perisian untuk enjin padanan serta pengecaman biometrik, selain pembangunan dan integrasi keseluruhan penyelesaian ABIS.

 

Kenaikan nilai kontrak tersebut turut merangkumi lesen perisian keselamatan dan rangkaian, serta latihan dan pemindahan teknologi kepada kakitangan Kementerian Dalam Negeri (KDN), kata HeiTech Padu dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia.

 

 

 

 

 

 

Syarikat itu mengesahkan kontrak pindaan bernilai RM1.05 bilion telah diterima pada 13 Oktober, setahun selepas penganugerahan asal bernilai RM892.2 juta.

 

NIISe, yang akan menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) sedia ada, turut merangkumi pengurusan pekerja asing, pengurusan ekspatriat, kawalan imigresen, serta urusan pasport dan pas perjalanan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan naikkan nilai kontrak NIISe kendalian HeiTech sebanyak 18% kepada RM1.05 bilion setahun

 

Kontrak HeiTech Padu meliputi tempoh 60 bulan dari 18 Oktober 2024 hingga 17 Oktober 2029, dan projek itu dijadualkan siap pada tahun 2028.

 

Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Julai lalu menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan pertindihan antara NIISe dan Sistem Pengurusan Pekerja Asing Berpusat (FWCMS) yang dikendalikan oleh Bestinet Sdn Bhd.

 

Walaupun terdapat kebimbangan tersebut, kerajaan mengesahkan sistem FWCMS oleh Bestinet — yang menyediakan perkhidmatan seperti permohonan kuota pekerja asing, pemprosesan visa dan pembaharuan permit — akan diteruskan sehingga 2031.

 

Harga saham HeiTech Padu ditutup satu sen atau 0.45% lebih rendah pada RM2.22 pada Rabu, menjadikan permodalan pasaran syarikat sebanyak RM361.83 juta. Sejak awal tahun ini, kaunter tersebut telah merosot lebih 11%.

 

 

 

 

 

 

Pengarah Urusan Kumpulan MyEG Services Bhd, Wong Thean Soon merupakan pemegang saham terbesar HeiTech Padu dengan pegangan tidak langsung sebanyak 21.75% melalui MyEG Capital Sdn Bhd dan pegangan langsung 0.95%.

 

Rosetta Partners Sdn Bhd, syarikat pelaburan milik Sultan Muhammad V dari Kelantan, memegang 22.08% kepentingan dalam HeiTech Padu, diikuti Datuk Sri Mohd Hilmey Mohd Taib, yang memiliki 2.75% pegangan langsung dan 10.48% pegangan tidak langsung melalui syarikat miliknya, Padujade Corp Sdn Bhd. - DagangNews.com