​​​​​​​Nilai eksport produk getah Malaysia ke Amerika Selatan RM57.2 juta, meningkat 13.7% pada Januari 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

​​​​​​​Nilai eksport produk getah Malaysia ke Amerika Selatan RM57.2 juta, meningkat 13.7% pada Januari 2026

Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato' Dr. Noraini Ahmad
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 19 Mac - Industri getah Malaysia memulakan tahun 2026 dengan prestasi memberangsangkan apabila nilai eksport produk getah ke pasaran Amerika Selatan meningkat sebanyak 13.7% tahun ke tahun kepada RM57.2 juta pada Januari 2026.

 

Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato' Dr. Noraini Ahmad berkata, pencapaian ini mencerminkan keberkesanan strategi Kementerian dalam memperluas pasaran bukan tradisional serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pembekal global yang diyakini bagi produk getah berkualiti tinggi.

 

Beliau berkata, pertumbuhan eksport ini bukan sahaja meningkatkan hasil negara, malah turut memberi manfaat kepada ratusan ribu pekebun kecil getah dan pemain industri tempatan yang menjadi tulang belakang rantaian bekalan negara.

 

Menurutnya, Brazil kekal sebagai destinasi utama dengan sumbangan sebanyak 43.8% daripada keseluruhan eksport ke rantau tersebut.

 

"Keputusan Brazil menggantung tindakan anti-lambakan pada Disember 2025 membuka semula ruang pasaran dan memberi kelebihan kompetitif kepada pengeksport Malaysia," kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Dr. Noraini berkata, Argentina mencatatkan pertumbuhan paling ketara dengan lonjakan 140.6% kepada RM14.3 juta, didorong oleh peningkatan permintaan terhadap sarung tangan getah dan benang lateks selaras dengan pengembangan sektor penjagaan kesihatan negara tersebut.

 

Colombia pula terus menunjukkan momentum positif dengan peningkatan sebanyak 31.8%, dipacu oleh permintaan yang semakin meningkat bagi produk perubatan serta kelengkapan pelindung diri (PPE).

 

“Ini adalah hasil sokongan berterusan dan pelaksanaan inisiatif proaktif oleh Majlis Getah Malaysia (MRC) bersama agensi-agensi berkaitan, termasuk strategi pemasaran bersasar, pengukuhan jaringan antarabangsa, serta sesi libat urus yang konsisten dengan rakan dagang global.

 

"Walaupun ekonomi global dijangka terus berdepan cabaran seperti ketegangan geopolitik, ketidaktentuan pasaran, dan tekanan kos tenaga, Kementerian kekal komited untuk memastikan industri getah negara terus berdaya tahan dan kompetitif.

 

“Amerika Selatan kini muncul sebagai antara pasaran berpotensi tinggi dan akan terus diberi keutamaan dalam strategi pengembangan eksport negara," kata beliau.

 

Langkah Brazil menggantung tindakan anti-lambakan dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan yang lebih mampan dalam tempoh terdekat.

 

"Kementerian juga akan mempergiat usaha menembusi pasaran baharu serta memperkukuh kerjasama strategik antarabangsa bagi memastikan industri getah Malaysia terus berkembang dan kekal relevan dalam landskap ekonomi global yang dinamik.

 

“Kejayaan ini membuktikan Malaysia bukan sekadar pengeluar, tetapi peneraju global dalam industri getah.

 

"Dengan permintaan global yang kekal kukuh, khususnya dalam sektor penjagaan kesihatan, Malaysia berada di landasan tepat untuk memperluas penguasaan pasaran dan memperkukuh kedudukan sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan getah dunia,” kata Dr. Noraini. - DagangNews.com