Nilai Aset Bersih Dana SRI Malaysia lepasi RM15 bilion – SC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nilai Aset Bersih Dana SRI Malaysia lepasi RM15 bilion – SC

Pengarah Eksekutif Pasaran Modal Islam SC, Sharifatul Hanizah Said Ali - Gambar fail
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 9 Okt - Nilai Aset Bersih (NAV) bagi dana pelaburan berasaskan Sustainable and Responsible Investment (SRI) di Malaysia telah melepasi RM15 bilion setakat akhir Ogos 2025, mencerminkan pertumbuhan pesat dan minat berterusan terhadap pelaburan mampan di negara ini.

 

Pengarah Eksekutif Pasaran Modal Islam SC, Sharifatul Hanizah Said Ali berkata, sektor dana SRI telah berkembang hampir 10 kali ganda dalam tempoh empat tahun, daripada RM1.46 bilion pada 2020 kepada RM14.44 bilion setakat 31 Disember 2024.

 

Daripada jumlah tersebut, terdapat 75 dana yang layak diklasifikasikan sebagai dana SRI, merangkumi 45 dana amanah saham dan 30 dana borong dengan jumlah NAV RM14.44 bilion.

 

Beliau berkata momentum ini membuktikan keserasian yang kukuh antara prinsip kewangan Islam dan pelaburan mampan.

 

“Menariknya, 40% daripada jumlah dana tersebut setakat akhir 2024 adalah dana SRI patuh Syariah, menunjukkan sinergi yang jelas antara prinsip kewangan Islam dan pelaburan berasaskan nilai,” kata beliau ketika berucap pada pelancaran Panduan Penilaian Keutamaan Kemampanan Pelabur bagi Dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) hari ini.

 

Sharifatul Hanizah berkata, garis panduan tersebut dibangunkan oleh SC dengan sokongan Federation of Investment Managers Malaysia (FIMM) untuk membantu perunding kewangan memahami dan menilai pilihan kemampanan pelabur secara lebih menyeluruh dan praktikal.

 

“Panduan ini memberikan rangka kerja yang jelas bagi membantu perunding menggabungkan keutamaan kemampanan dalam perbualan nasihat pelaburan — daripada memahami nilai dan keutamaan pelanggan hingga mengenal pasti dana SRI yang sesuai,” ujarnya.

 

Sejak pengenalan Garis Panduan Dana SRI pada tahun 2017, Malaysia menjadi antara negara pertama di rantau ini yang memperkenalkan standard kebangsaan untuk dana mampan.

 

SC juga telah diamanahkan oleh ASEAN Capital Markets Forum (ACMF) untuk menerajui pembangunan ASEAN Sustainable and Responsible Fund Standards, satu langkah penting memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pelaburan berasaskan nilai.

 

Sharifatul turut menegaskan kepentingan inklusiviti dalam pasaran modal, agar setiap rakyat Malaysia dapat menyertai agenda kekayaan jangka panjang negara.

 

“Keterangkuman mesti kekal sebagai keutamaan. Kita perlu memastikan setiap rakyat, tanpa mengira latar belakang, lokasi atau kemampuan kewangan, mempunyai peluang untuk menyertai dan membuat keputusan pelaburan yang bermakna,” katanya.

 

Beliau menambah, cabaran sebenar bukanlah kurang minat, tetapi halangan seperti kos, kerumitan dan kekurangan panduan yang menghalang penyertaan lebih luas.

 

“Untuk mencapai matlamat ini, kita perlu mereka bentuk laluan pelaburan yang lebih mudah, adil dan responsif — dengan maklumat yang telus, produk yang sesuai serta nasihat yang menyokong keyakinan pelabur untuk kekal melabur dalam jangka panjang,” ujar beliau.

 

Kajian oleh Institute for Capital Market Research (ICMR) menunjukkan lebih 70% pelabur milenial dan Gen Z lebih cenderung memilih produk pelaburan yang menyokong kemampanan dan nilai sosial yang baik.

 

Sharifatul berkata trend ini menandakan perubahan asas dalam landskap pelaburan moden, di mana kejayaan tidak lagi diukur semata-mata berdasarkan pulangan kewangan, tetapi juga impak dan tujuan pelaburan tersebut terhadap masyarakat dan alam sekitar. - DagangNews.com