Nilai amanah, tanggungjawab penting terus jadi teras dalam setiap aspek pengurusan - PM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nilai amanah, tanggungjawab penting terus jadi teras dalam setiap aspek pengurusan - PM

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 13 Jun - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan betapa pentingnya nilai amanah dan tanggungjawab terus menjadi teras dalam setiap aspek pengurusan, termasuk dalam institusi koperasi.

 

Berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Berhad yang ke-90 hari ini, Anwar berkata, nilai-nilai ini bukan sahaja menjadi asas kepada kelestarian sesebuah organisasi, malah merupakan kunci kepada kejayaan jangka panjang yang mampan.

 

"Dalam konteks pengurusan koperasi, apabila integriti dan kecekapan diangkat serta diamalkan secara konsisten, koperasi bukan sahaja akan terhindar daripada risiko keruntuhan atau kegagalan, malah mampu menjana pulangan yang lebih baik untuk manfaat semua ahlinya.

 

"Kerajaan sentiasa komited untuk memperkasa gerakan koperasi di negara ini agar terus relevan, berdaya tahan dan mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI," kata beliau dalam catatan di facebook rasmi hari ini.

 

Turut hadir Saifuddin Nasution dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain merangkap Yang Dipertua Koperasi PDRM Berhad.

 

Sementara itu, Bernama melaporkan kerajaan bersedia memberikan beberapa projek yang bersesuaian bagi membantu Koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Berhad meningkatkan keuntungan, berbanding menyalurkan dana tambahan secara langsung.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu dapat memastikan projek dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan efisien selain setiap projek memberikan faedah kepada hampir 100,000 ahli koperasi.

 

“Satu projek yang diberikan dan diluluskan kerajaan, manfaatnya adalah kepada 100,000 orang. Ia munasabah berbanding kita berikan suntikan dana secara terus, geran bantuan kewangan.

 

“... lebih baik bagi projek, kerja lebih baik, kos munasabah, cepat siap dan efisien," kata Perdana Menteri.

 

Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan meminta pihak pengurusan koperasi PDRM mengemukakan laporan prestasi kepada beliau dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bagi meneliti potensi ruang kerjasama yang boleh diteroka.

 

“Saya akan berikan arahan kepada Menteri Kewangan II dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan untuk mencari jalan untuk memastikan keuntungan yang diperoleh Koperasi PDRM memberikan manfaat kepada ahlinya,” katanya.

 

Selain itu, Anwar berkata kerajaan akan melihat segala aspek yang boleh dibantu untuk meringankan beban pengurusan serta memberikan potongan munasabah ke atas hutang premis Kolej UNIKOP di Cyberjaya, milik Koperasi PDRM Berhad.

 

“Saya tak fikir kita wajar lupuskan (hutang) semua, tetapi saya fikir berdasarkan prestasi polis dan pengurusan yang baik sekarang, kita berikan potongan (hutang) munasabah,” katanya.

 

Sementara itu, Perdana Menteri berkata pengurusan Koperasi PDRM Berhad yang mewakili ratusan ribu ahli mutakhir ini merekodkan prestasi memberangsangkan sekali gus dapat memberikan pulangan lebih baik kepada ahlinya. 

 

“Kalau pengurusan itu baik dan tatakelolanya juga baik, prestasi (hasil) bagi ahlinya juga akan jauh lebih baik. Prestasi ini juga sekali gus telah meletakkan Koperasi PDRM di kedudukan yang tinggi ketimbang koperasi lain di negara kita,” katanya.

 

Anwar berkata dalam usaha memastikan kebajikan rakyat khususnya anggota PDRM terus terbela, pandangan daripada Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri amat diperlukan.

 

“Kita tidak boleh lagi kekal dengan cara dan keadaan lama sahaja… negara catat kejayaan membanggakan, pertumbuhan lima peratus dengan pelaburan semalam saya umumkan masih meningkat 3.1 peratus bagi suku pertama tahun ini dalam keadaan ekonomi dunia terencat. 

 

“Tetapi ukuran akhirnya itu adalah ukuran kepada tahap keselesaan rakyat, rumah mereka, hospital, sekolah dan kos sara hidup. Inilah yang sedang Kerajaan MADANI tangani,” katanya. - DagangNews.com