KUALA LUMPUR 26 Jan – NexG Berhad terus memperkukuh kedudukannya sebagai syarikat berteras kelestarian dan pemerkasaan belia menerusi pelaksanaan program Mega Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) tahunan, NexG Projek Hutan, yang berlangsung pada 24 hingga 25 Januari 2026 di Jungle School Gombak, Kampung Batu 12, Jalan Gombak–Bentong Lama.
Program jangkauan masyarakat selama dua hari itu menghimpunkan 150 peserta, melibatkan 50 warga kerja NexG dan 100 pelajar daripada pelbagai institusi pengajian tinggi di Lembah Klang, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kumpulan terhadap pembangunan komuniti, kesedaran kelestarian dan pembinaan modal insan negara.
Menurut Pengarah Eksekutif NexG Berhad, Erna Ismail, Projek Hutan menandakan fasa terbaharu dalam peluasan portfolio Mega CSR syarikat, susulan kejayaan penganjuran H2O Run pada 2024 dan GodamLah Hackathon pada 2025 yang memfokuskan belia dalam bidang pendidikan, inovasi dan kesihatan.
“NexG Projek Hutan merupakan kesinambungan strategi jangka panjang kami untuk membangunkan program CSR yang bermakna dan berimpak tinggi, bagi melengkapkan generasi muda dengan kemahiran, pendedahan dan platform kepimpinan masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, NexG juga telah merancang beberapa lagi pengaktifan CSR dalam bulan-bulan akan datang sebagai sebahagian daripada agenda pembinaan komuniti di peringkat nasional.
“NexG akan terus memperluaskan jangkauan kepada lebih banyak komuniti dan segmen belia. Kami telah memulakan tahun ini dengan dua inisiatif utama, iaitu GodamLah 2.0 pada 10 Januari 2026, diikuti Projek Hutan pada hujung minggu ini,” katanya.
Program berkenaan menawarkan pengalaman lapangan secara imersif, dengan penekanan kepada pembinaan daya tahan, penghargaan budaya dan kesedaran alam sekitar.
“Para peserta didedahkan kepada pembelajaran ikhtiar hidup, bengkel kehidupan di hutan serta sesi perkongsian ilmu tradisional hasil kerjasama bersama komuniti Orang Asli setempat,” menurut NexG.
Inisiatif itu juga mengukuhkan elemen pendidikan kelestarian, sekali gus menekankan kepentingan pemeliharaan alam sekitar secara bertanggungjawab dalam kalangan bakal pemimpin masa hadapan.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Strategik NexG Berhad, Safia Hanifah berkata, mandat CSR NexG melangkaui penajaan semata-mata, sebaliknya menumpukan kepada pembinaan nilai kepimpinan, pendedahan praktikal dan kesedaran sivik.
“Syarikat mereka bentuk program yang membawa pelajar ke persekitaran sebenar, bersama komuniti sebenar dan isu sebenar. Pendekatan ini penting bagi membentuk rakyat Malaysia yang lebih berempati, bertanggungjawab dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya.
Melalui Projek Hutan, peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan berasaskan modul pembelajaran, malah memperkukuh semangat kerja berpasukan, penghayatan budaya, kemahiran luar serta pembelajaran reflektif, yang semakin relevan dalam landskap bakat dan modal insan negara.
Dalam konteks tadbir urus korporat, NexG berkata, portfolio CSR kumpulan kini menjadi komponen strategik utama dalam agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) syarikat, bagi memastikan sumbangan komuniti sejajar dengan penciptaan nilai jangka panjang dan jangkaan pelaporan kelestarian.
NexG ketika ini mengekalkan penarafan FTSE4Good Bursa Malaysia sebanyak 3.4, mencerminkan kemajuan berterusan merentasi aspek integriti tadbir urus, tanggungjawab sosial dan impak terhadap pihak berkepentingan. - DagangNews.com








