KUALA LUMPUR 11 Mei – NexG Berhad meneruskan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi penganjuran Bengkel Pembuatan Coklat yang bertujuan membuka peluang ekonomi baharu kepada golongan ibu tunggal.
Program yang diadakan di Perumahan Awam Seri Perlis 2, Kampung Dato Keramat, Kuala Lumpur itu menghimpunkan seramai 50 peserta terdiri daripada ibu tunggal serta kakitangan NexG, dalam kalangan komuniti berpendapatan rendah.

Bengkel tersebut memberi pendedahan secara praktikal kepada teknik asas pembuatan coklat, selain memperkenalkan potensi perniagaan kecil berasaskan rumah yang boleh dijadikan sumber pendapatan sampingan.
Inisiatif ini turut bertujuan menggalakkan peserta meneroka bidang keusahawanan sebagai langkah memperkukuh kestabilan kewangan jangka panjang.

Pengarah Komunikasi Strategik NexG Berhad, Safia Hanifah (gambar atas) berkata, inisiatif tersebut mencerminkan pendekatan CSR syarikat yang memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran dan pemerkasaan komuniti, bukan sekadar bantuan bersifat sementara.
“Di NexG, kami percaya inisiatif CSR yang bermakna perlu memberi nilai jangka panjang kepada komuniti melalui ilmu dan kemahiran praktikal.
"Melalui bengkel ini, kami berharap para peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan baharu, tetapi juga keyakinan untuk meneroka peluang ekonomi yang lebih baik bagi masa depan mereka,” katanya.


Beliau menambah, NexG berharap program ini dapat menjadi pemangkin kepada peserta untuk terus membangunkan kemahiran, menjana pendapatan sampingan secara mampan serta meningkatkan daya tahan ekonomi keluarga masing-masing.
NexG Berhad memaklumkan bahawa program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan syarikat dalam aspek pembangunan komuniti, peningkatan kapasiti dan keterangkuman sosial.
Syarikat itu kekal komited untuk melaksanakan inisiatif berimpak tinggi yang memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat setempat. - DagangNews.com








