KUALA LUMPUR 9 Okt - National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NAICO Malaysia) memperkukuh agenda pembangunan industri aeroangkasa negara dengan memeterai beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dan Surat Hasrat (LoI) bersama rakan strategik industri serta akademia sempena Selangor Aerospace Summit 2025 (SAS 2025) hari ini.
Upacara pertukaran dokumen disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif NAICO Malaysia, Ts. Shamsul Kamar Abu Samah, dan EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor, Ng Sze Han. NAICO Malaysia diwakili oleh Naib Presiden Bahagian Perkhidmatan Korporat, En. Mohd Sazali Mohamed Amin.
Majlis tersebut merupakan sebahagian daripada Program Iltizam Usaha Insan – Pemerkasaan Bakat TVET Aeroangkasa di bawah inisiatif Malaysia Aerospace Centre of Excellence (MyAERO Centre), yang menegaskan komitmen NAICO Malaysia untuk melahirkan tenaga kerja aeroangkasa masa depan melalui kerjasama strategik antara industri dan institusi pengajian tinggi.
Sebanyak empat MoU dan dua LoI dimeterai, menandakan usaha bersama dalam memperkukuh saluran bakat, mempertingkat inovasi serta meningkatkan daya saing ekosistem aeroangkasa negara.
MoU dimeterai dengan:
ZRST Training Sdn. Bhd.
Admal Aviation College
APR Aviation Training Centre
Manakala LoI ditandatangani dengan:
Universiti Utara Malaysia (UUM)
Chartered Institute of Logistics and Transport Malaysia (CILTM)
Kerjasama ini akan memberi tumpuan kepada peningkatan latihan teknikal dan program pensijilan, penyelenggaraan penerbangan, peningkatan kemahiran kejuruteraan, reka bentuk digital, pembuatan termaju, logistik dan pembangunan pengurusan. Semua bidang ini merupakan pemacu utama kepada pembangunan bakat dan rantaian bekalan aeroangkasa Malaysia.
Menurut Ts. Shamsul Kamar, usaha tersebut mencerminkan komitmen NAICO Malaysia dalam membina kerangka pembangunan bakat yang komprehensif dan relevan dengan keperluan industri aeroangkasa global.
“Melalui MyAERO Centre, kami menjambatani kerjasama antara institusi akademik, pusat latihan dan pemain industri bagi memastikan tenaga kerja Malaysia kekal kompetitif, berkemahiran tinggi dan sejajar dengan piawaian global,” katanya.
MyAERO Centre of Excellence, yang diwujudkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), berperanan sebagai platform nasional bagi mempercepat penyelidikan termaju, inovasi dan pembangunan bakat dalam bidang aeroangkasa.
Inisiatif ini menyokong matlamat strategik yang digariskan dalam Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 (MAIB 2030), yang turut diperkukuh oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“Melalui kolaborasi ini, NAICO Malaysia menegaskan peranannya sebagai peneraju transformasi industri serta pencipta laluan kerjaya bernilai tinggi dalam bidang aeroangkasa. Fokus kami bukan sekadar melahirkan tenaga kerja mahir, tetapi juga menempatkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam keupayaan dan inovasi aeroangkasa,” tambahnya.
Majlis menandatangani MoU dan LoI tersebut menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan NAICO Malaysia membangunkan ekosistem aeroangkasa yang mampan, inklusif dan berteraskan teknologi, sekali gus memperkukuh daya saing negara serta menyokong aspirasi Malaysia untuk diiktiraf sebagai hab aeroangkasa serantau menjelang 2030.
NAICO Malaysia merupakan agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang diberi mandat untuk membangunkan dan meletakkan Malaysia sebagai ekonomi aeroangkasa pilihan di Asia Tenggara serta sebahagian penting daripada rantaian nilai global menjelang 2030. - DagangNews.com








