Nadir Bumi: Malaysia boleh ambil peluang di sebalik ketegangan perdagangan AS-China, kata MBSB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nadir Bumi: Malaysia boleh ambil peluang di sebalik ketegangan perdagangan AS-China, kata MBSB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 16 Okt - Ketegangan perdagangan yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat dan China berpotensi membuka ruang strategik kepada Malaysia untuk muncul sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan global, khususnya dalam sektor nadir bumi (REE) dan semikonduktor.

 

Firma penyelidikan MBSB Research berkata, di sebalik cabaran tersebut, Malaysia berpotensi untuk menarik lebih banyak pelaburan asing langsung (FDI), terutamanya dari Amerika Syarikat yang ingin mengurangkan risiko rantaian bekalan mereka.

 

"Ini boleh membuka peluang kepada Malaysia untuk muncul sebagai pemain yang lebih besar dalam industri REE, sekali gus menyumbang kepada peningkatan nilai rantaian dan menjadikan negara sebagai hab pemprosesan alternatif di rantau Asia," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Bagaimanapun, MBSB mengingatkan, Malaysia perlu mengemudi landskap geopolitik dengan berhati-hati bagi memastikan keseimbangan strategik dapat dicapai. 

 

"Difahamkan bahawa Malaysia sedang giat berunding dengan China untuk mendapatkan bantuan teknikal dalam membangunkan kapasiti pemprosesan hiliran REE domestik," kata firma itu.

 

Menurut MBSB, di sebalik peluang itu, isu bekalan nadir bumi serta ketegangan perdagangan antara AS dan China memberi kesan kepada semua rantaian perdagangan khususnya membabitkan bekalan mentah dalam industri semikonduktor dan cip memori. 

 

Katanya, unsur nadir bumi memainkan peranan penting dalam pembuatan mesin etching, litografi serta ujian semikonduktor. 

 

Sekatan ke atas eksport unsur ini turut dijangka mendorong kepada kenaikan harga bahan mentah, sekali gus meningkatkan kos pengeluaran secara keseluruhan.

 

"Secara keseluruhan, perkembangan ini dijangka memberi impak negatif kepada industri semikonduktor tempatan – yang merupakan pemain penting dalam peringkat akhir (back-end) rantaian nilai semikonduktor global.

 

"Sebarang gangguan kepada rantaian bekalan semikonduktor global berpotensi memberi kesan negatif kepada unjuran pengeluaran dan perdagangan Malaysia," katanya.

 

Menurut MBSB, walaupun eksport REE hanya merangkumi sekitar 0.4% daripada jumlah eksport Malaysia dalam tempoh 9 bulan pertama tahun kewangan 2025 (9MCY25), subsektor ini menyumbang hampir 6.8% daripada jumlah eksport sektor perlombongan negara.

 

Setakat ini, eksport unsur nadir bumi mencatatkan penyusutan sebanyak -9.6% tahun ke tahun (y-o-y) kepada sekitar RM4.5 bilion, dipengaruhi oleh permintaan yang lebih lemah terutamanya dari China, Thailand dan Jepun. 

 

"Kami percaya permintaan yang sederhana ini mencerminkan kelembapan pasaran global serta kebimbangan terhadap gangguan bekalan akibat peraturan perdagangan yang lebih ketat," katanya. 

 

Menurut MBSB, dari aspek pengeluaran pula, kebimbangan utama adalah sejauh mana kekangan bekalan REE akan menjejaskan pengeluaran global pelbagai produk. 

 

"Berdasarkan 12 daripada 17 REE yang kini dikawal eksportnya oleh China, kami menjangkakan kekurangan bekalan ini akan memberi kesan kepada pelbagai industri termasuk Elektrik & Elektronik (E&E), semikonduktor, paparan LED, peranti perubatan, industri pengangkutan dan utiliti.

 

"Kekurangan ini juga dijangka meningkatkan kos input dan seterusnya mengganggu kestabilan pengeluaran serta penghantaran produk E&E, automotif (khususnya kenderaan elektrik), dan rantaian bekalan tenaga hijau di Malaysia," katanya. - DagangNews.com