KUALA LUMPUR 23 Ogos – Penganjuran Program Hari Bersama Komuniti (HBK) di NADI Pekan Ijok yang dirasmikan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul hari ini menyaksikan sokongan padu masyarakat berbilang kaum terhadap inisiatif kerajaan dalam memperkasa komuniti digital di peringkat akar umbi.
Katanya, kehadiran masyarakat pelbagai latar belakang pada program HBK membuktikan NADI diterima sebagai pusat komuniti terbuka yang menyediakan ruang pembelajaran, kesihatan serta peluang sosioekonomi untuk semua.
Menurut beliau, NADI kini bukan sekadar pusat Internet, tetapi telah berkembang menjadi hab komuniti yang inklusif untuk semua golongan baik para pelajar, belia, usahawan, ibu bapa mahupun warga emas untuk memperoleh ilmu, meningkatkan kemahiran dan memperkasa kesejahteraan kendiri.
Program HBK di NADI Pekan Ijok turut memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk mendapatkan maklumat serta menyertai pelbagai aktiviti, antaranya pameran usahawan NADI, demonstrasi pertanian pintar, pendaftaran keahlian, saringan kesihatan percuma serta aktiviti Perkhidmatan Pintar yang disediakan untuk semua peringkat umur.
Sementara itu, NADI yang didirikan di seluruh negara boleh bertindak sebagai platform berkesan dalam memberi pendedahan mengenai proses demokrasi kepada rakyat jelata.
Melalui kerjasama ini, NADI boleh dijadikan pusat rujukan bagi Program Sekolah Parlimen dan Parlimen Belia, yang berperanan untuk melatih generasi muda dalam kepimpinan dan pemahaman demokrasi.
“Usaha ini juga adalah seiring dengan peranan NADI sebagai hab komuniti untuk mendapatkan maklumat yang tepat, sahih dan terkini,” jelas Tan Sri Dato’ Dr. Johari.
Sehingga kini, sebanyak 1,099 buah NADI telah beroperasi di seluruh negara, termasuk 84 buah di negeri Selangor dengan lebih 122,653 ahli berdaftar. Angka ini membuktikan penerimaan positif masyarakat terhadap peranan NADI dalam merapatkan jurang digital, pengetahuan dan sosioekonomi.
Impak NADI kepada komuniti setempat turut terserlah apabila inisiatif NADI baru-baru ini telah berjaya meraih World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2025 di Geneva dalam kategori Capacity Building pada Julai lalu. - DagangNews.com








