KUALA LUMPUR 14 Jan – Penggunaan aplikasi mudah alih Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) masih tidak diwajibkan bagi rakyat Malaysia yang ingin mengembara ke luar negara setakat ini.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata pengembara masih boleh menggunakan pelbagai kaedah sedia ada sebagai pilihan untuk melepasi pemeriksaan imigresen di pintu masuk dan keluar negara.
Beliau berkata kaedah seperti aplikasi MyBorderPass, kod respons pantas (QR) serta kaedah manual dengan passport masih boleh digunakan.
“Kami telah menetapkan bahawa mulai 15 Januari, semua pendaftaran MyNIISe akan menggunakan MyDigital ID.
“Namun, dari segi penggunaan MyNIISe itu sendiri, ia tidak diwajibkan buat masa ini kerana orang ramai masih mempunyai pilihan lain. Untuk melalui pagar automatik, ia bukan hanya melalui kod QR.
“Pasport masih boleh digunakan, dan imbasan pasport masih tersedia. Sekiranya seorang pengembara tidak mempunyai aplikasi ini, mereka masih boleh menggunakan pasport fizikal. Orang ramai tidak perlu risau,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan sempena Tahun Baru 2026 hari ini.
Beliau berkata, pelaksanaan MyNIISe akan bermula secara percubaan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar, sebelum diperluaskan ke Terminal Satu dan Terminal Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
“Kami mensasarkan untuk memasang pengimbas kod QR bagi MyNIISe di semua lokasi,” tambahnya.
Beliau bagaimanapun menggalakkan orang ramai untuk menggunakan aplikasi MyNIISe kerana ia lebih pantas dan efisien berbanding kaedah manual dan pagar automatik lain.
Ditanya mengenai MyBorderPass, Zakaria berkata aplikasi tersebut masih boleh digunakan sehingga sistem MyNIISe mengambil alih sepenuhnya namun masih belum ada tempoh tertentu yang ditetapkan.
Sebelum ini Kementerian Dalam Negeri mengumumkan penggunaan MyDigital ID sebagai platform log masuk tunggal untuk rakyat Malaysia yang mahu menggunakan sistem MyNIISe bermula 15 Januari 2026.
Beliau berkata perkhidmatan imigresen mesti pantas dan cekap serta menegaskan pihaknya komited terhadap usaha pendigitalan untuk meningkatkan keberkesanan keseluruhan perkhidmatan.
“Agenda kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan jabatan mesti terus diperkukuh untuk mencapai sasaran itu. Pada masa yang sama, pelaksanaan MyNIISe harus dipantau dengan rapi bagi memastikan modul-modul yang dibangunkan bukan sahaja berfungsi tetapi juga berkesan dalam menangani cabaran operasi harian,” katanya. - DagangNews.com








