MyCC syor tindakan ke atas dua syarikat disyaki terlibat kartel bidaan projek JKR bernilai RM285 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MyCC syor tindakan ke atas dua syarikat disyaki terlibat kartel bidaan projek JKR bernilai RM285 juta

KUALA LUMPUR 14 JanSuruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengesyorkan tindakan terhadap dua syarikat berhubung dakwaan penglibatan dalam kartel penetapan bidaan melibatkan nilai RM285 juta.


Menurut Pengerusinya, Tan Sri Idrus Harun, kedua-dua syarikat tersebut dikenal pasti terbabit dalam tender pembinaan Lebuh Raya Lingkaran Tengah (CSR) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). 


Hasil siasatan mendapati mereka dipercayai melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 berkaitan amalan perkongsian maklumat dan pakatan sulit dalam penyediaan serta penghantaran bidaan tender.


"Dua syarikat itu didapati ada tujuan untuk menghalang, menyekat atau memesongkan persaingan secara signifikan dalam proses perolehan awam bagi projek CSR," katanya dalam satu kenyataan hari ini


Bagaimanapun, Idrus menegaskan keputusan yang dicadangkan itu merupakan dapatan bersifat sementara dan belum merupakan dapatan muktamad bahawa kedua-dua perusahaan telah melanggar Akta 712.


MyCC jelas beliau, sudah memaklumkan kepada syarikat terbabit mengenai penalti dan arahan yang disyorkan, dengan mereka turut diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan representasi bertulis.


"Pada masa sama, kedua-dua syarikat tersebut akan juga diberikan peluang untuk mereka tampil membuat representasi secara lisan pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian,” katanya lagi.


Selain itu tambah Idrus, MyCC akan mengeluarkan keputusan muktamad selepas meneliti kesemua representasi yang dikemukakan bersama-sama bukti yang diperoleh sepanjang siasatan dilaksanakan.


MyCC merupakan sebuah badan bebas di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang bertanggungjawab menguatkuasakan Akta Persaingan 2010. - BERNAMA