Mujibburrahman Abd Rashid kini memangku jawatan CEO Bank Simpanan Nasional | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mujibburrahman Abd Rashid kini memangku jawatan CEO Bank Simpanan Nasional

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 12 Mei - Bank Simpanan Nasional (BSN) mengumumkan pelantikan pegawai nombor duanya, Mujibburrahman Abd Rashid sebagai pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bank itu.

 

Datuk Jay Khairil Jeremy Abdullah, yang kini menerajui BSN, akan meninggalkan bank pembangunan tersebut bagi menyertai Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

 

Bagaimanapun, BSN tidak menyatakan sama ada pengganti tetap bagi jawatan CEO itu telah dikenal pasti.

 

Menurut kenyataan BSN, Mujibburrahman telah berkhidmat dengan bank itu sejak 2018 dan mempunyai pengalaman luas dalam operasi, pengurusan serta perniagaan perbankan. Beliau kini adalah Timbalan Ketua Eksekutif BSN.

 

BSN ketika ini mengendalikan lebih 387 cawangan yang memberi perkhidmatan kepada lebih 10 juta pelanggan termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman, menurut laman web bank itu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: KWAP lantik Jay Khairil sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu berkuat kuasa 20 Mei 2026

 

Dalam pada itu, BSN turut merakamkan penghargaan kepada Jay Khairil, 50, atas khidmat beliau menerajui bank yang memberi tumpuan kepada keterangkuman kewangan, pembiayaan mikro dan akses perbankan sejak Februari 2021.

 

Pengerusi BSN, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, Jay Khairil memainkan peranan penting dalam memperkukuh prestasi kewangan dan mandat sosial bank tersebut.

 

“Beliau menjadi pemacu utama dalam mengukuhkan prestasi kewangan serta mandat sosial bank, di samping memperkasakan tadbir urus dan memperluas keterangkuman kewangan, sekali gus meletakkan BSN sebagai institusi kewangan yang mampan dan berdaya tahan,” katanya.

 

Di bawah kepimpinan Jay Khairil, BSN merekodkan purata kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 8.4% bagi pendapatan berasaskan fi dan 8.1% bagi pertumbuhan pembiayaan.

 

Bank itu turut memaklumkan lebih 72,000 usahawan mikro dan kecil menerima pembiayaan berjumlah RM2.2 bilion, sekali gus memberikan BSN pegangan pasaran sebanyak 66%.

 

KWAP mengumumkan pelantikan Jay Khairil sebagai CEO baharunya, pada Isnin. - DagangNews.com