KUALA LUMPUR 26 Jan – MTT Shipping and Logistics Bhd memperoleh kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi cadangan penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.
Sebagai sebahagian daripada penyenaraian yang dicadangkan, MTT Shipping & Logistics merancang untuk menerbitkan 633.5 juta saham biasa baharu menerusi tawaran awam permulaan (IPO) yang merangkumi tawaran kepada pelabur institusi dan runcit.
Tiada penjualan saham sedia ada terlibat dan keseluruhan hasil IPO akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh kumpulan.
Pengarah Urusan MTT Shipping & Logistics, Ooi Lean Hin berkata, IPO berkenaan dijangka menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan jangka panjang syarikat.
“Berikutan kelulusan ini, kami amat teruja untuk memulakan pelayaran sulung dalam fasa seterusnya perjalanan korporat kami. IPO yang dicadangkan dijangka menjadi pemudah cara utama bagi pertumbuhan jangka panjang MTT Shipping & Logistics,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kumpulan itu merancang untuk mengembangkan rangkaian perkhidmatannya di Asia Tenggara, benua kecil India dan China melalui pemerolehan kapal kontena tambahan dengan pelbagai keupayaan, bagi memanfaatkan pertumbuhan volum kargo yang didorong oleh penstrukturan semula rantaian bekalan serta pemindahan lokasi pengeluaran.
Beliau turut menambah, syarikat memberi tumpuan kepada pembangunan kemudahan pengangkutan bersepadu bagi menyokong pertumbuhan domestik di Malaysia Timur, dengan menangani jurang infrastruktur serta memperluaskan kapasiti logistik.
Inisiatif ini dijangka mengukuhkan perdagangan antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur, di samping menyokong pertumbuhan serantau.
MTT Shipping and Logistics menyediakan perkhidmatan logistik maritim, terutamanya dalam perkapalan liner kontena, penyewaan kapal, serta penyimpanan kontena dan perkhidmatan berkaitan.
Kumpulan itu merupakan pengendali perkapalan liner kontena domestik terkemuka Malaysia, berdasarkan pegangan pasaran volum kabotaj antara Semenanjung Malaysia, Malaysia Timur dan Brunei pada 2024 serta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2025.
Ia juga mempunyai kehadiran serantau yang semakin berkembang di seluruh Asia Tenggara dan rantau Timur Jauh–benua kecil India.
Selain itu, syarikat memiliki armada kapal kontena berdaftar Malaysia terbesar dengan purata usia 6.7 tahun, menjadikannya armada termuda dalam kalangan pengendali Malaysia setakat 1 Sept 2025.
Bagi urusan IPO ini, CIMB Investment Bank Bhd dilantik sebagai penasihat utama, penyelaras global bersama, penempah buku bersama, penaja jamin pengurusan dan penaja jamin bersama.
CLSA Ltd dan CLSA Securities Malaysia Sdn Bhd bertindak sebagai penyelaras global bersama dan penempah buku bersama manakala Affin Hwang Investment Bank Bhd dilantik sebagai penempah buku bersama dan penaja jamin bersama. - DagangNews.com








