MRT Corp buka tender untuk projek LRT Pulau Pinang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MRT Corp buka tender untuk projek LRT Pulau Pinang

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 15 Okt – Malaysia Rapid Transit Corp Sdn Bhd (MRT Corp) membuka beberapa tawaran tender dan penyataan minat (EOI) untuk Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Pulau Pinang, menandakan permulaan fasa pelaksanaan projek mega tersebut.

 

Anak syarikat milik penuh MRT Corp, MRT Mutiara Sdn Bhd, dalam notis tender yang disiarkan pada Isnin, mempelawa penyertaan untuk pakej kerja awam utama yang melibatkan pembinaan jejambat rentas laut termasuk rentangan navigasi, stesen bertingkat, dan kerja berkaitan yang menghubungkan Macallum di Pulau Pinang ke Penang Sentral di Butterworth.

 

Tender tersebut, dikenali sebagai Pakej CMC2, dibuka kepada kontraktor tempatan dan antarabangsa, namun syarat menetapkan kontraktor asing perlu bergabung secara usaha sama atau konsortium dengan kontraktor Malaysia yang memegang sekurang-kurangnya 50% ekuiti.

 

 

 

 

 

 

Kontraktor yang ingin membida perlu menunjukkan rekod prestasi dalam projek infrastruktur awam berskala besar, termasuk sekurang-kurangnya satu projek jejambat kabel kekuda dengan rentang utama melebihi 300 meter. 

 

Mereka juga mesti mempunyai pengalaman dalam projek-projek kejuruteraan awam bernilai terkumpul sekurang-kurangnya RM500 juta, serta pengalaman dalam infrastruktur rel.

 

Dari segi kewangan, kontraktor mesti mempunyai dana pemegang saham sekurang-kurangnya RM100 juta, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) positif terkumpul dalam tempoh lima tahun lepas dan kemudahan kredit tidak digunakan sekurang-kurangnya RM150 juta.

 

MRT Corp memaklumkan taklimat tender akan diadakan pada 5 November di George Town, manakala dokumen tender boleh dibeli dari 6 November hingga 5 Disember 2025. Tarikh akhir penghantaran ditetapkan pada 2 April 2026.

 

Pada masa yang sama, MRT Mutiara turut membuka EOI untuk kontraktor Bumiputera yang berdaftar di bawah kategori G1 hingga G4 dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK).

 

EOI G1 dan G2 dibuka kepada kontraktor yang berpusat di Pulau Pinang menakala EOI G3 dan G4 dibuka kepada kontraktor berdaftar di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis.

 

Tempoh pendaftaran bermula dari 3 November hingga 28 November 2025, dengan penghantaran dokumen perlu dibuat di pejabat MRT Mutiara di Menara Northam, George Town.

 

EOI ini bertujuan mengenal pasti kontraktor Bumiputera kecil dan sederhana untuk peranan sokongan dan subkontrak dalam projek LRT Mutiara. 

 

MRT Corp menegaskan penyertaan dalam EOI tidak menjamin jemputan tender, kerana ia hanya berfungsi sebagai proses pra-kelayakan dan saringan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim, sebelum ini memberitahu tender bagi komponen jambatan LRT akan dilancarkan pada Oktober, sebaik sahaja fasa reka bentuk disiapkan.

 

Beliau berkata struktur jambatan direka bentuk bagi menampung laluan maritim serta mengambil kira kemungkinan pengembangan pelabuhan di Butterworth. 

 

Ciri keselamatan seperti pagar keselamatan dan laluan pejalan kaki yang menghubungkan Butterworth dan Komtar turut dimasukkan dalam reka bentuk.

 

Struktur ini dijangka setinggi 62 meter dari paras laut, iaitu lebih tinggi daripada Jambatan Pulau Pinang pertama.

 

Kerajaan Persekutuan pada Ogos lalu telah meluluskan siling perbelanjaan baharu sebanyak RM16.8 bilion bagi projek LRT Mutiara. 

 

MRT Corp menjelaskan semakan semula ini mengambil kira kos pengambilan tanah yang lebih tinggi serta kerja tambahan di kawasan Macallum dan Pulau Silikon.

 

 

 

 

 

 

Kos akhir projek akan ditentukan berdasarkan hasil daripada tender terbuka yang sedang berjalan.

 

LRT Mutiara bakal merangkumi 29.5 kilometer laluan dan 21 stesen, menghubungkan Pulau Pinang dengan Seberang Perai. - DagangNews.com