KUALA LUMPUR 7 Okt - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengambil iktibar daripada isu arak dalam penganjuran majlis dan akan memastikan perkara seumpama itu tidak berulang.
Dalam kenyataan hari ini MOTAC memaklumkan menerima teguran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penganjuran majlis makan malam yang tular baru-baru ini.
"MOTAC dengan penuh rasa tanggungjawab dan takzim amat mengesali sebarang kekeliruan atau salah faham yang telah menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan rakyat.
"MOTAC juga akan memastikan setiap pelaksanaan program di bawah seliaannya mematuhi garis panduan serta etika yang telah ditetapkan," kata kementerian itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Anwar beri amaran tegas kepada Tiong, Kementerian Pelancongan berhubung isu alkohol
Kementerian itu turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas nasihat dan teguran membina serta sokongan berterusan terhadap usaha kementerian dalam memperkasa industri pelancongan, seni dan budaya negara.
Menurut MOTAC, segala kesulitan yang timbul amat dikesali dan kementerian berkenaan akan terus memperkukuh komunikasi serta memastikan penambahbaikan berterusan dalam pelaksanaan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.
Terdahulu, Perdana Menteri memberi amaran keras kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing serta kementerian berkenaan agar memastikan bahawa kesilapan menghidangkan arak di acara rasmi kerajaan tidak berulang.
Sebelum ini, tular gambar memaparkan minuman keras dihidangkan pada majlis makan malam sempena program Global Travel Meet yang dihadiri Tiong.
Beberapa gambar juga menunjukkan menteri berkenaan serta tetamu lain memegang gelas berisi wain dan bir. - DagangNews.com








