KUALA LUMPUR 26 Ogos – MKH Oil Palm (East Kalimantan) Bhd (MKHOP) mengumumkan pengambilalihan 100% pegangan dalam syarikat perladangan Indonesia, PT Tunas Tani Tutus (PT Tunas) dengan nilai RM9.1 juta secara tunai, sekali gus meningkatkan keluasan tanah kumpulan kepada 21,302.25 hektar berbanding 18,205.30 hektar sebelum ini.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, MKHOP berkata harga pembelian berjumlah IDR34.97 bilion (RM9.1 juta) itu akan dibiayai menggunakan hasil terbitan awam permulaan (IPO) dan dana dalaman. Pengambilalihan ini dibuat melalui MKHOP bersama anak syarikat milik penuh, Hala Maju Sdn Bhd.
Tanah berkeluasan 3,096.95 hektar itu terletak di Kecamatan Sebulu dan Muara Kaman, Kalimantan Timur – kira-kira 60 minit pemanduan dari estet sedia ada MKHOP.
Kedua-dua kawasan berkenaan telah mendapat permit perniagaan perladangan pada 1 Ogos 2025, membolehkan aktiviti penanaman dimulakan serta-merta.
Selepas selesai urus niaga ini, PT Tunas akan menjadi anak syarikat MKHOP.

Pengerusi MKHOP, Tan Sri Alex Chen Kooi Chiew berkata, langkah ini seiring dengan strategi jangka panjang kumpulan untuk mengembangkan operasi melalui pengambilalihan tanah ladang baharu yang berkualiti.
“Dengan pengambilalihan ini, tanah simpanan kami kini meningkat kepada lebih 21,000 hektar. Kami komited untuk terus menambah tanah perladangan di Kutai Kartanegara sebagai sebahagian daripada rancangan pertumbuhan jangka panjang untuk memberikan pulangan mampan dan berulang kepada para pemegang saham,” katanya.
Pada hari sama, MKHOP turut mengumumkan keuntungan bersih RM17.7 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Jun 2025, meningkat 10.3% berbanding tempoh sama tahun lalu, meskipun hasil susut 15.8% kepada RM78.6 juta. Keuntungan lebih tinggi ini disokong oleh kenaikan harga jualan purata minyak sawit mentah (CPO), minyak isirung sawit mentah (CPKO) dan isirung sawit (PK).
Kumpulan melaporkan pengeluaran tandan buah segar (FFB) sebanyak 99,952 MT bagi suku berkenaan, dengan harga jualan purata CPO pada RM3,708 per MT dan PK pada RM3,293 per MT selepas ditolak levi serta duti eksport Indonesia.
Bagi tempoh sembilan bulan, keuntungan bersih MKHOP melonjak 59.5% kepada RM68.9 juta berbanding RM43.2 juta tahun lalu, manakala hasil meningkat 6% kepada RM277.4 juta. Angka sembilan bulan itu sudah pun mengatasi keuntungan bersih setahun penuh RM64.2 juta bagi tahun kewangan 2024.
Sehingga akhir Jun, MKHOP merekodkan paras tunai tertinggi sebanyak RM244.4 juta dan kekal dalam kedudukan tunai bersih.
Lembaga Pengarah menjangkakan prestasi kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 30 September 2025 kekal memuaskan, disokong oleh permintaan kukuh minyak sawit mentah yang diniagakan pada harga sekitar RM3,600 hingga RM3,800 per MT di Indonesia (selepas levi dan duti). - DagangNews.com








