Mitsubishi Xforce dipasang di kilang Pekan, 800 unit dijangka dihantar kepada pelanggan pada April | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mitsubishi Xforce dipasang di kilang Pekan, 800 unit dijangka dihantar kepada pelanggan pada April

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 3 Feb – Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mencatat satu pencapaian penting dengan pelancaran rasmi barisan pengeluaran massa Mitsubishi Xforce serba baharu dari barisan pemasangannya di kilang Pekan.

 

Tempahan bagi Mitsubishi Xforce serba baharu akan dibuka minggu ini, menurut pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi di Malaysia dalam sati kenyataan hari ini.

 

Pengenalan Mitsubishi Xforce serba baharu menegaskan komitmen berterusan Mitsubishi Motors Malaysia terhadap peluasan rangkaian produk serta pemerkasaan keupayaan pembuatan tempatan berteknologi maju.

 

Bagi menyokong pencapaian ini, MMM telah menaik taraf operasi pembuatan di Pekan, termasuk penubuhan Sub-Assembly Body Shop baharu serta pemasangan peralatan canggih di barisan mengecat, pemasangan dalaman (outfitting) dan pengujian bagi menyokong pengeluaran Mitsubishi Xforce serba baharu.

 

Pengeluaran Mitsubishi Xforce serba baharu di Pekan dilaksanakan mengikut piawaian pengeluaran global Mitsubishi Motors yang telah dibangunkan melalui puluhan tahun kepakaran pembuatan Jepun.

 

Bermula daripada pemasangan badan, proses mengecat hingga pemeriksaan akhir, setiap peringkat dikawal selia melalui disiplin kerja yang ketat serta kawalan kualiti yang menyeluruh bagi memastikan kualiti binaan yang konsisten, ketahanan dan kebolehpercayaan jangka panjang.


 

Xforce

 


Mengulas mengenai pencapaian tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia, Takashi Sakamaki, berkata, pengeluaran massa Mitsubishi Xforce serba baharu mencerminkan penerapan falsafah pembuatan Jepun Mitsubishi Motors di kilang Pekan.

 

Berteraskan ketepatan, disiplin proses dan penambahbaikan berterusan, piawaian ini memastikan setiap Xforce yang dihasilkan di sini memenuhi penanda aras kualiti yang sama seperti kenderaan Mitsubishi yang dikeluarkan di mana-mana sahaja di dunia.

 

"Keutamaan kami adalah untuk menyerahkan kenderaan yang melambangkan piawaian global tertinggi Mitsubishi Motors, sekali gus memberikan keyakinan, kebolehpercayaan dan kebanggaan pemilikan kepada pelanggan sejak hari pertama.”

 

Mitsubishi Motors Malaysia menyasarkan penghantaran 800 unit pertama Mitsubishi Xforce serba baharu menjelang April, selepas melalui proses pengesahan kualiti menyeluruh serta pemeriksaan kesiapsiagaan pengeluaran.

 

Pelancaran Mitsubishi Xforce serba baharu dari Pekan ini mengukuhkan lagi komitmen jangka panjang Mitsubishi Motors Malaysia terhadap pembuatan tempatan serta usaha menyediakan kenderaan yang direka untuk prestasi pemanduan, kebolehpercayaan dan ketenangan fikiran pelanggan. - DagangNews.com