KUALA LUMPUR 3 Feb - MISC Berhad memperoleh kontrak jangka panjang menyediakan perkhidmatan penghantaran gas asli cecair (LNG) kepada PETRONAS LNG Ltd, anak syarikat milik penuh Petroliam Nasional Berhad, menandakan langkah penting dalam strategi pemodenan armada dan kelestarian syarikat.
Di bawah perjanjian ini, MISC akan mengendalikan tiga kapal pembawa LNG baharu (LNGC) dengan tempoh sewa masa selama 20 tahun, dijangka bermula pada 2029.
Syarikat juga telah menandatangani kontrak pembinaan kapal dengan Hudong-Zhonghua Shipbuilding (Group) Co. Ltd. (HZ) bagi membina ketiga-tiga kapal tersebut, kata MISC dalam makluman di Bursa Malaysia.
Projek ini menyokong pertumbuhan jangkaan pengeluaran LNG PETRONAS sambil memacu program pemodenan LNGC MISC, dengan memperkenalkan kapal moden dan cekap tenaga yang direka mengurangkan pelepasan gas rumah kaca serta intensiti pelepasan secara keseluruhan.
MISC akan menanggung risiko komersial, pelaksanaan projek dan operasi yang lazim dalam industri penghantaran LNG, dengan memanfaatkan kepakaran operasi dan kawalan sedia ada untuk menguruskan risiko tersebut.
Projek ini tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa kerajaan dan dijangka tidak memberi kesan material ke atas modal saham, pendapatan atau kedudukan kewangan MISC bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.
PLL, yang berpusat di Labuan, Malaysia, terlibat dalam perdagangan, penyewaan dan pengangkutan LNG, manakala HZ, anak syarikat China State Shipbuilding Corporation Limited, merupakan pembina kapal terkemuka dengan pengalaman luas dalam kapal LNG, kapal kontena, kapal tangki kimia dan kapal tentera.
Lembaga Pengarah MISC, kecuali pengarah yang mempunyai kepentingan dalam PETRONAS atau PLL, memutuskan bahawa projek ini adalah demi kepentingan terbaik MISC, dijalankan pada terma komersial biasa, dan tidak memudaratkan pemegang saham minoriti. - DagangNews.com








