KUALA LUMPUR 7 Okt – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dijangka tidak memberi kesan besar kepada indeks pasaran saham keseluruhan, namun minat pelabur terhadap saham-saham berkaitan Sabah dijangka meningkat dalam beberapa bulan akan datang, dipacu oleh sentimen dan harapan terhadap pembangunan negeri, jelas MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, beberapa sektor utama seperti pembinaan, hartanah, perladangan serta logistik dan pelabuhan dilihat berpotensi menerima limpahan minat berdasarkan janji kempen dan dasar yang dijangka diketengahkan sepanjang tempoh pilihan raya ini.
"Antara sektor paling hampir dengan sentimen pilihan raya negeri ialah pembinaan dan hartanah, memandangkan pembangunan infrastruktur dan projek perumahan sering menjadi inti pati utama dalam kempen politik di Sabah.
"Tumpuan kepada projek infrastruktur seperti jalan raya luar bandar, jeti, jaringan utiliti serta projek perumahan rakyat dijangka membuka peluang kontrak kepada syarikat-syarikat pembinaan dan pemaju hartanah yang aktif di negeri tersebut," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor semalam mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberi laluan kepada PRN Sabah ke-17 akan datang.
MBSB berkata, secara amnya, PRN tidak memberi kesan besar kepada indeks utama kerana ia tidak mengubah struktur kerajaan persekutuan secara langsung.
Namun, ia tetap memberikan isyarat penting kepada sentimen pelabur terhadap kestabilan politik, kemampuan pentadbiran negeri untuk melaksanakan pembangunan dan kemungkinan penstrukturan semula peruntukan bajet antara negeri dan persekutuan.
Firma penyelidikan itu menambah, secara lazimnya, terdapat tanggapan bahawa pasaran akan melonjak apabila pilihan raya diumumkan — dikenali sebagai “election rally”.
Namun, data sejarah menunjukkan bahawa prestasi pasaran, khususnya FBM KLCI, tidak konsisten menjelang pilihan raya seperti berlaku pada Plilihan Raya Umum 2008, 2013 dan 2018.
Lebih penting, kebanyakan pergerakan pasaran sebenar berlaku selepas pilihan raya, apabila pelabur menilai hasil politik dan kestabilan dasar – bukan semata-mata janji atau retorik semasa kempen.
MBSB berkata, pengalaman lalu menunjukkan sentimen pelaburan terhadap saham-saham tempatan di Sabah sering mengukuh — terutama dalam sektor pembinaan, hartanah, perladangan, serta logistik dan pelabuhan.
Berikut ialah beberapa saham yang dijangka mendapat perhatian berdasarkan analisis firma penyelidikan berkenaan.
Sektor Pembinaan & Infrastruktur
Azam Jaya Bhd (Tidak Dinilai)
Sorotan: Kontraktor utama berpengkalan di Sabah dengan rekod kukuh dalam projek infrastruktur negeri.
Prospek: Potensi menerima manfaat daripada peningkatan peruntukan untuk naik taraf Lebuhraya Pan Borneo, jalan luar bandar, dan projek tebatan banjir.
Nota: Pilihan raya di Sabah secara historikal meningkatkan perbelanjaan infrastruktur.
Gamuda Bhd (BELI, TP: RM6.35)
Sorotan: Walaupun bukan syarikat Sabah, Gamuda mengetuai projek Hidroelektrik Ulu Padas bernilai RM3.05 bilion melalui pegangan 75% dalam JV.
Kemajuan: Setakat Julai 2025, kemajuan projek mencapai 4% dengan sasaran operasi pada 31 Disember 2030.
Pemangkin Tambahan: Berpotensi memperoleh kontrak tambahan bernilai RM4 bilion bagi Skim Bekalan Air Ulu Padas, menjelang akhir 2025.
Impak: Projek ini dijangka menjana RM400 juta pendapatan tahunan menerusi perjanjian jual beli tenaga selama 40 tahun.
Sektor Hartanah & Pembangunan
KTI Landmark Bhd (Tidak Dinilai)
Sorotan: Pemaju yang memfokus kepada pembangunan kediaman dan komersial di Kota Kinabalu serta daerah sekitarnya.
Potensi: Janji kempen berkaitan perumahan mampu milik dan pembaharuan bandar dijangka memberi kelebihan kepada pemaju tempatan yang berpengalaman.
Sektor Logistik & Pelabuhan
Suria Capital Holdings Bhd (Tidak Dinilai)
Sorotan: Pengendali utama pelabuhan dan kemudahan logistik Sabah.
Pemangkin: Selari dengan agenda kerajaan negeri untuk membangunkan Taman Industri Ekonomi Biru di Kudat dan modenisasi pelabuhan.
Sektor Perladangan & Pertanian
Kretam Holdings Bhd (Tidak Dinilai)
Sorotan: Antara pengeluar minyak sawit terbesar di Sabah dengan ladang di pantai timur.
Pemangkin: Perluasan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) di Lahad Datu dan galakan kepada pemprosesan hiliran.
Potensi: Inisiatif keselamatan makanan dan rantaian bekalan agro-industri meningkatkan penggunaan kapasiti penapisan.
Innoprise Plantations Bhd (Tidak Dinilai)
Sorotan: Berpotensi mendapat manfaat daripada pengembangan sektor pertanian negeri.
Pemangkin: Penambahbaikan infrastruktur POIC Lahad Datu dijangka mengurangkan kos dan melicinkan logistik.
Permintaan: Tumpuan kerajaan terhadap pembangunan luar bandar dan industri berasaskan agro mampu meningkatkan permintaan terhadap CPO dan produk berkaitan.
Sektor Pengguna
Life Water Bhd (BELI, TP: RM1.11)
Sorotan: Pengeluar minuman terbesar di Sabah, khususnya air minuman botol dan minuman berkarbonat.
Pemangkin: Pertumbuhan sektor pelancongan dan penambahbaikan infrastruktur dijangka melonjakkan permintaan di hotel, restoran dan runcit.
Struktur Permintaan: Jurang bekalan air di kawasan luar bandar mewujudkan permintaan struktur untuk air botol. Program pembangunan desa dijangka meningkatkan penggunaan isi rumah. - DagangNews.com








