Melaka sasar jadi peneraju semikonduktor, industri bernilai RM17.6 bilion jana eksport RM31.9 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Melaka sasar jadi peneraju semikonduktor, industri bernilai RM17.6 bilion jana eksport RM31.9 bilion

Abdul Rauf (kiri) dalam sesi dialog bersama persatuan industri semikonduktor Malaysia yang menghimpunkan pemain industri, pelabur, syarikat teknologi, institusi kewangan, ahli akademik serta rakan strategik bagi membincangkan masa depan industri semikonduktor dan pembuatan berteknologi maju di negeri itu.
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Julai – Industri semikonduktor Melaka yang kini bernilai RM17.6 bilion bersedia memasuki fasa pertumbuhan baharu dengan memperkukuh ekosistem teknologi tinggi, disokong lebih 400 syarikat pembuatan serta tenaga kerja berkemahiran.

 

Prestasi industri itu turut diterjemahkan menerusi pencapaian eksport apabila syarikat-syarikat dalam ekosistem semikonduktor dan pembuatan berteknologi maju Melaka merekodkan nilai eksport sekitar RM31.9 bilion bagi tempoh 2025 hingga suku pertama 2026, membuktikan daya saing negeri itu dalam rantaian bekalan teknologi global.

 

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian itu membuktikan Melaka bukan sekadar destinasi pelaburan, malah telah berkembang sebagai hab perindustrian berdaya saing yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan rantau.

 

“Dalam setiap pertemuan bersama pelabur, terdapat tiga persoalan utama yang sering dibangkitkan iaitu mengapa Melaka, mengapa sekarang dan sama ada kerajaan negeri mampu menyediakan persekitaran terbaik untuk menyokong kejayaan perniagaan.

 

“Jawapan saya cukup jelas, Melaka telah bersedia. Kita memiliki asas perindustrian yang kukuh, tenaga kerja berkemahiran tinggi, infrastruktur yang terus diperkasa serta sebuah kerajaan yang komited menjadi rakan strategik kepada setiap pelabur dalam menjayakan agenda pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi dialog bersama persatuan industri semikonduktor Malaysia yang menghimpunkan pemain industri, pelabur, syarikat teknologi, institusi kewangan, ahli akademik serta rakan strategik bagi membincangkan masa depan industri semikonduktor dan pembuatan berteknologi maju di negeri itu.

 

Lebih 400 Syarikat Kukuhkan Rantaian Industri Negeri

Ab Rauf berkata, Melaka kini mempunyai lebih 400 syarikat pembuatan termasuk pemain industri bertaraf dunia seperti Infineon Technologies, Texas Instruments, COHU Malaysia, ATX Semiconductor dan Possehl Electronics.

 

Beliau berkata, kewujudan syarikat-syarikat berkenaan mencerminkan keyakinan pelabur global terhadap keupayaan Melaka dalam menyediakan persekitaran perniagaan yang stabil, kompetitif dan mampu menyokong operasi industri berteknologi tinggi.

 

t

 

Katanya, ekosistem tersebut bukan sahaja menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negeri, malah turut menyediakan lebih 100,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat.

 

“Ekosistem ini turut menggerakkan lebih 1,000 pembekal, vendor dan penyedia perkhidmatan tempatan yang menjadi tulang belakang kepada rantaian industri negeri.

 

“Perkembangan itu menunjukkan industri semikonduktor Melaka telah berkembang melangkaui operasi syarikat multinasional apabila turut membabitkan pemain tempatan dalam rantaian bekalan global,” katanya.


Pengalaman Lebih Lima Dekad Jadi Kelebihan Melaka

Ab Rauf berkata, kejayaan industri semikonduktor Melaka dibina berasaskan pengalaman lebih lima dekad sejak sektor berkenaan mula bertapak di negeri itu pada awal 1970-an.

 

Beliau berkata, industri tersebut bermula daripada operasi berskala kecil dengan jumlah pekerja yang terhad sebelum berkembang selepas penubuhan Zon Perindustrian Bebas pertama Melaka di Batu Berendam pada 1976.

 

Menurut beliau, perjalanan panjang itu membolehkan Melaka membangunkan ekosistem industri yang lengkap melibatkan pengeluar antarabangsa, syarikat tempatan, pembekal komponen serta tenaga kerja berkemahiran.

 

Katanya, pengalaman tersebut menjadi antara faktor utama yang meningkatkan keyakinan syarikat global untuk terus mengembangkan operasi mereka di Melaka.

 

Selain itu, beliau berkata, kedudukan strategik Melaka antara Kuala Lumpur, Johor dan Singapura turut memberikan kelebihan kepada pelabur dari segi akses kepada pasaran, pelabuhan, lapangan terbang serta rangkaian pembekal.

 

Eksport RM31.9 Bilion Cerminkan Daya Saing Industri

Ab Rauf berkata, kekuatan ekosistem semikonduktor Melaka turut diterjemahkan menerusi prestasi eksport apabila syarikat-syarikat dalam sektor berkenaan merekodkan nilai eksport sekitar RM31.9 bilion bagi tempoh 2025 hingga suku pertama 2026.

 

t

 

Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan Melaka mempunyai keupayaan untuk bersaing dalam rantaian bekalan teknologi global, khususnya ketika permintaan terhadap semikonduktor terus meningkat sejajar perkembangan kecerdasan buatan (AI), automotif pintar dan teknologi digital.

 

“Kerajaan negeri akan terus memperkukuh dasar mesra pelabur, memperkasa bakat tempatan serta membangunkan ekosistem industri yang lebih mampan dan berteknologi tinggi.

 

“Usaha ini selari dengan Strategi Semikonduktor Melaka 2035 yang menjadi hala tuju negeri dalam memperkukuh industri semikonduktor, menarik pelaburan bernilai tinggi serta meningkatkan keupayaan pemain industri tempatan,” katanya.


Strategi 2035 Pacu Fasa Baharu Pertumbuhan

Ab Rauf berkata, menerusi strategi berkenaan, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem semikonduktor yang lebih kukuh bagi memastikan Melaka terus menjadi pilihan syarikat teknologi dunia.

 

Beliau berkata, kerajaan negeri turut komited membantu pelabur menerusi proses kelulusan yang lebih cekap, penyelesaian isu operasi serta sokongan berterusan daripada peringkat perancangan sehingga pelaksanaan projek.

 

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan Melaka mampu bersaing dengan lokasi industri lain yang turut berusaha menarik pelaburan teknologi tinggi.

 

“Hasrat kita bukan sekadar menarik lebih banyak pelaburan, tetapi membina masa depan yang menjana peluang, meningkatkan kemakmuran rakyat dan mengangkat Melaka sebagai peneraju industri semikonduktor serta pembuatan maju di Malaysia dan persada antarabangsa,” katanya. - DagangNews.com