MCMC tarik balik sekatan sementara akses aplikasi Grok di platform X | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MCMC tarik balik sekatan sementara akses aplikasi Grok di platform X

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 23 Jan – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan sekatan akses sementara ke atas penggunaan aplikasi Grok di platform X telah ditarik balik berkuat kuasa hari ini, susulan pengesahan pelaksanaan langkah pencegahan dan keselamatan tambahan oleh pihak platform berkenaan.

 

MCMC berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira penjelasan serta pengesahan awal yang dikemukakan oleh platform X berhubung pematuhan undang-undang tempatan dan langkah keselamatan yang telah dilaksanakan terhadap aplikasi berkenaan.

 

Menurut MCMC, satu mesyuarat telah diadakan pada 21 Januari 2026 melibatkan Kementerian Komunikasi, MCMC serta wakil platform X bagi mendapatkan penjelasan dan komitmen berhubung langkah pencegahan serta pematuhan kepada undang-undang Malaysia.

 

Dalam mesyuarat tersebut, kata MCMC, pihak platform X telah mengesahkan langkah keselamatan yang diperlukan telah dilaksanakan terhadap aplikasi Grok.

 

“Sehubungan itu, setelah meneliti penjelasan dan pengesahan awal yang diberikan, MCMC telah menarik balik sekatan akses sementara yang dikenakan terhadap aplikasi Grok, tertakluk kepada pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tambah MCMC, keselamatan pengguna kekal sebagai keutamaan pihaknya dan sebarang kegagalan pematuhan atau pelanggaran undang-undang Malaysia akan ditangani secara tegas selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. - DagangNews.com