MCMC rancang perketat pendaftaran kad SIM prabayar dengan MyDigital ID | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MCMC rancang perketat pendaftaran kad SIM prabayar dengan MyDigital ID

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Jan – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhasrat memperketatkan pendaftaran kad SIM prabayar dengan langkah lebih selamat dan boleh dipercayai, termasuk penggunaan MyDigital ID, bagi mengelak penyalahgunaan dan memastikan syarikat telekomunikasi menggalas  tanggungjawab dengan lebih jelas.

 

Langkah ini diumumkan susulan penerbitan Laporan Siasatan Awam yang meneliti cadangan Standard Mandatori untuk pendaftaran pengguna prabayar.

 

MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan siasatan awam itu dijalankan sepanjang 45 hari, bermula 14 Oktober hingga 28 November 2025, dengan 15 maklum balas diterima, termasuk 10 daripada penyedia perkhidmatan dan lima daripada orang awam.

 

“MCMC mendapati sistem pendaftaran kad SIM sedia ada lemah kerana bergantung kepada muat naik dokumen sahaja, yang mudah dipalsukan dan terdedah kepada kecurian identiti.

 

“Kelemahan ini bukan sahaja memberi risiko kepada pengguna individu, tetapi juga menjejaskan keselamatan negara dan integriti perkhidmatan digital secara keseluruhan.

 

“Maklum balas daripada industri dan orang awam menunjukkan sokongan meluas terhadap usaha memperketat proses pendaftaran prabayar,” kata MCMC dalam kenyataan tersebut.

 

Standard Mandatori yang dicadangkan bakal memperkenalkan platform pendaftaran automatik yang selamat, pengesahan biometrik, serta tanggungjawab yang lebih jelas bagi penyedia perkhidmatan dan pengedar.

 

Salah satu penambahbaikan utama ialah pengintegrasian MyDigital ID bagi pendaftaran kendiri, terutamanya bagi individu yang telah memiliki identiti digital ini.

 

MCMC berkata penggunaan MyDigital ID dijangka meningkatkan tahap jaminan dan mengukuhkan integriti serta kebolehpercayaan proses pendaftaran prabayar.

 

“Langkah ini juga selaras dengan inisiatif identiti digital nasional kerajaan, yang bertujuan memodenkan sistem pengenalan dan transaksi digital di Malaysia.

 

“Selain itu, Standard Mandatori akan membantu mengurangkan risiko kad SIM disalahgunakan untuk penipuan dalam talian dan kegiatan jenayah lain,” katanya.

 

MCMC menegaskan bahawa langkah ini bukan sahaja melindungi pengguna, tetapi juga memberi kepastian dan akauntabiliti kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

 

Laporan Siasatan Awam yang diterbitkan merangkumi semua maklum balas, penilaian MCMC, dan pendirian dasar berhubung Standard Mandatori yang dicadangkan.

 

MCMC merancang untuk mendaftarkan Standard Mandatori secara rasmi sebagai Penentuan Suruhanjaya menjelang akhir Februari 2026, berserta set Soalan Lazim (FAQ) untuk panduan pengguna. - DagangNews.com