KUALA LUMPUR 13 Jan - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap platform mesej X berikutan kegagalannya menyekat akses kepada kandungan berbahaya yang dihasilkan oleh chatbot AI kontroversialnya, Grok, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata MCMC telah menghubungi X dan meminta maklum balas mengenai Grok, yang mempunyai ciri-ciri yang melanggar undang-undang Malaysia, termasuk kemampuan untuk menghasilkan imej deepfake yang tidak sesuai melibatkan kanak-kanak dan wanita.
“Bagaimanapun, maklum balas yang kami terima daripada X tidak memuaskan dan, setelah dimaklumkan oleh MCMC, saya mengarahkan agar akses kepada chatbot Grok disekat sementara. Kami telah meminta perbincangan lanjut tetapi juga sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap platform ini.
"MCMC sedang mengusahakannya dan akan membuat pengumuman tidak lama lagi,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Selangor dan Kuala Lumpur di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dan Exco Agama Islam & Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah. pada satu acara di sini pada Selasa.

Katanya, sekatan berkenaan tidak melibatkan keseluruhan platform X, sebaliknya tertumpu kepada aplikasi Grok yang didapati tidak mempunyai langkah keselamatan mencukupi bagi mengawal penjanaan kandungan oleh AI.
Beliau menambah, tempoh sekatan terhadap Grok bergantung sepenuhnya kepada tahap pematuhan pihak X terhadap undangundang Malaysia.
Fahmi berkata banyak negara telah menyekat akses kepada chatbot itu kerana ia tidak mempunyai langkah keselamatan yang mencukupi terhadap kandungan berbahaya.
“Ini menunjukkan kebimbangan global terhadap kegagalan Grok menyediakan safeguard yang mencukupi dalam penggunaan AI,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan akan mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian (JKDT) yang baharu dibentuk dan dipengerusikan oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dalam masa terdekat.
“Kita mahu memastikan Internet di Malaysia menjadi lebih selamat, khususnya untuk kanak-kanak dan keluarga. Undangundang kita sebenarnya mencukupi, yang penting ialah aspek penguatkuasaan dan pematuhan,” katanya.
Terdahulu dalam ucapan, Fahmi berkata kementerian menyasarkan untuk memperoleh kerjasama semua platform media sosial menjelang pertengahan tahun ini, bagi mengehadkan penggunaan media sosial hanya kepada 16 tahun ke atas. - DagangNews.com








