MCMC kenal pasti 121 kes scammer dalam talian menyamar sebagai individu berprofil tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MCMC kenal pasti 121 kes scammer dalam talian menyamar sebagai individu berprofil tinggi

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 23 Julai – Sebanyak 121 kes penipuan dalam talian yang menyamar sebagai individu berprofil tinggi, termasuk pemimpin negara dan ahli politik, telah direkodkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) setakat tahun ini.

 

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata penjenayah siber kini semakin giat menggunakan taktik penyamaran, penyalahgunaan identiti dan maklumat palsu membabitkan tokoh awam bagi memperdaya mangsa secara dalam talian.

 

 

 

 

 

“MCMC telah meminta platform seperti Meta Platforms Inc (pemilik Facebook) supaya mengambil tindakan sewajarnya terhadap kandungan penipuan,” katanya ketika menjawab soalan Chong Chieng Jen (Pakatan Harapan - Stampin) di Dewan Rakyat hari ini.

 

Beliau bertanya mengenai iklan-iklan mengelirukan yang melibatkan penyamaran tokoh terkenal di platform media sosial.

 

Teo berkata kerajaan kini dalam peringkat akhir memuktamadkan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian bagi memperkukuh perlindungan kawal selia dan melindungi pengguna Internet daripada jenayah digital.

 

MCMC turut merangka perundangan subsidiari, termasuk Kod Keselamatan Dalam Talian, sebagai sebahagian daripada usaha lebih menyeluruh untuk mengurangkan pendedahan awam terhadap penipuan digital.

 

 

 

 

 

 

“Kita merujuk kepada model yang digunakan di beberapa negara lain, seperti Singapura, yang telah mewajibkan pengiklan digital untuk mengesahkan identiti mereka sebelum sesuatu iklan boleh diterbitkan.

 

“Jika langkah ini terbukti berkesan, tidak mustahil kita akan memasukkannya dalam kod kawal selia MCMC,” katanya lagi. - DagangNews.com