KUALA LUMPUR 15 Jan – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menganjurkan Hari Keselamatan Internet 2026 pada 8 Februari di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, sebagai acara komuniti berskala besar yang menggabungkan pendidikan keselamatan digital, teknologi pintar dan hiburan mesra keluarga.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, program itu disambut setiap tahun di lebih 170 negara.
“Hari Keselamatan Internet bertujuan mempromosikan penggunaan Internet yang selamat, bertanggungjawab dan positif, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan golongan muda.
“Program ini diadakan sempena sambutan Hari Keselamatan Internet Antarabangsa (Safer Internet Day).
“Bertemakan “Teknologi Pintar, Pilihan Selamat (Penggunaan AI Secara Selamat dan Bertanggungjawab)”, acara ini menekankan kepentingan membuat pilihan digital bijak dalam memanfaatkan teknologi dan kecerdasan buatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fokus utama diberikan kepada kanak-kanak, remaja dan keluarga agar teknologi digunakan secara beretika, selamat dan bertanggungjawab.
Sepanjang penganjuran, orang ramai berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran interaktif keselamatan Internet, sesi pocket talk bersama pakar keselamatan siber, aktiviti komuniti, demonstrasi teknologi pintar, serta pelancaran rasmi Kempen Internet Selamat 2026.

MCMC berkata program ini turut dimeriahkan dengan mini konsert artis tempatan termasuk Datuk Jamal Abdillah, Faizal Tahir, Insomniacks, Ismail Izzani, Kaka Azraff, Leaism, serta Kmy Kmo & Luca Sickta.
“Antara aktiviti lain yang disediakan ialah permainan keselamatan Internet untuk kanak-kanak dan remaja, pertandingan video pendek bertemakan penggunaan Internet selamat, serta pertandingan e-sukan dalam persekitaran terkawal dengan penekanan kepada etika digital.
“Pameran dan demonstrasi teknologi pula merangkumi pameran Keselamatan Internet dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, panduan ibu bapa, serta demonstrasi dron dan robotic,” katanya.
Program ini juga menyediakan Kaunter Perkhidmatan Pintar NADI sebagai hab komuniti digital, yang menjadi pusat maklumat dan interaksi untuk pengunjung.
Melalui gabungan pendidikan, penglibatan dan kesejahteraan, Hari Keselamatan Internet 2026 menyokong usaha pembentukan Masyarakat MADANI Digital – masyarakat berilmu, berdaya tahan, berdaya saing serta peka dan bertanggungjawab dalam persekitaran dalam talian.
Orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan program ini dan memainkan peranan dalam mewujudkan ekosistem Internet yang lebih selamat untuk semua. - DagangNews.com








