MBSB Research percaya NetSfere mampu tingkatkan kecekapan KPJ Healthcare dan elak penalti ketidakpatuhan undang-undang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MBSB Research percaya NetSfere mampu tingkatkan kecekapan KPJ Healthcare dan elak penalti ketidakpatuhan undang-undang

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 2 Okt - Langkah KPJ Healthcare Berhad (KPJ) melaksanakan platform komunikasi digital selamat daripada NetSfere di kesemua 30 hospital di bawah rangkaiannya bukan sahaja bakal meningkatkan kecekapan pusat perubatan itu tetapi mampu membendung penalti berkaitan ketidakpatuhan undang-undang, kata MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, langkah ini juga seiring dengan inisiatif pendigitalan menyeluruh KPJ dalam meningkatkan pengalaman pesakit dan pengurusan hospital, termasuk pematuhan kepada piawaian kesihatan antarabangsa dan nasional.

 

Katanya, NetSfere turut memainkan peranan penting dalam menyokong pengurusan hospital, pasukan klinikal, jururawat dan doktor dalam penggunaan teknologi secara optimum.

 

"Platform ini juga direka untuk menyokong penggunaan peranti peribadi kakitangan perubatan, yang secara langsung boleh membantu hospital mengurangkan kos perkakasan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sebelum ini KPJ telah melaksanakan Netsfere di Hospital Pakar Pasir Gudang dan Ampang Puteri. Susulan kejayaan projek perintis itu merancang melaksanakan platform NetSfere di kesemua 30 hospital di bawah rangkaiannya.

 

NetSfere memastikan semua data disimpan dalam negara, selari dengan keperluan Malaysian Society for Quality in Health (MSQH) dan Joint Commission International (JCI). 

 

Di samping itu, platform ini juga mematuhi pelbagai peraturan antarabangsa seperti HIPAA, GDPR, SOX, Dodd-Frank dan FINRA – sekaligus menjadikan ia satu penyelesaian digital yang lengkap untuk sektor kesihatan dan kewangan yang dikawal ketat.

 

Menurut KPJ, platform ini bakal menggantikan penggunaan aplikasi pemesejan komersial yang tidak selamat, seterusnya menyokong panggilan suara dan video yang selamat, perkongsian fail yang dilindungi, serta kawalan pentadbiran yang mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) dan piawaian industri kesihatan yang lain.

 

Risiko Masih Perlu Diperhatikan

 

Bagaimanapun MBSB turut menekankan beberapa risiko yang berpotensi timbul daripada penggunaan platform digital sebagai alat pentadbiran hospital, antaranya protokol ketat yang boleh melambatkan komunikasi kecemasan.

 

Selain itu, risiko lain termasuk beban kerja awal akibat keperluan latihan dan adaptasi sistem, jumlah data yang tinggi boleh mengakibatkan gangguan proses kerja dan kos pemerolehan dan penyelenggaraan platform yang tinggi.

 

MBSB menambah, cabaran pengurusan IT apabila peranti peribadi digunakan untuk tujuan kerja juga perlu diambil kira, selainr isiko keselamatan siber dan kebocoran data juga kekal menjadi kebimbangan.

 

Bagaimanpun, NetSfere diyakini memiliki keupayaan untuk menguruskan risiko itu berikutan keselamatan bertaraf perusahaan yang ditawarkannya.

 

Sehubungan itu MBSB berkata, memandangkan pendigitalan pengurusan hospital adalah sebahagian daripada pelan jangka panjang KPJ yang telah diambil kira dalam penilaian syarikat sebelum ini, firma itu mengekalkan unjuran pendapatan dan saranan NEUTRAL dengan harga sasaran sebanyak RM2.65. - DagangNews.com