MBSB Research kekal saranan BELI saham Pharmaniaga, meskipun menyemak turun unjuran keuntungan FY25-28 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MBSB Research kekal saranan BELI saham Pharmaniaga, meskipun menyemak turun unjuran keuntungan FY25-28

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 17 Nov - MBSB Research mengekalkan saranan BELI ke atas saham Pharmaniaga Bhd meskipun menyemak turun ramalan keuntungan syarikat tersebut bagi FY25-28 sebanyak -23%/-8%/-2%/-1%, terutamanya disebabkan jangkaan penurunan jualan generik dan consumables pada Disember CY25.

 

Sehubungan itu, harga sasaran (TP) diselaraskan kepada RM0.29 daripada RM0.30, berasaskan PER 13.6x kepada EPS FY26 yang dikemas kini sebanyak 2.1 sen.

 

Walaupun ramalan keuntungan disemak turun, MBSB Research mengekalkan saranan BELI dikekalkan kerana beberapa faktor utama yang dijangka menyokong pemulihan operasi Pharmaniaga pada FY26.

 

Ini termasuk konsesi 400 juta dos insulin manusia kepada kerajaan; potensi keluar lebih cepat daripada PN17, selepas memohon pengecualian sekurang-kurangnya sebulan; dan memulakan perdagangan insulin dan vaksin pada separuh pertama FY26.

 

"Anggaran belanjawan RM2.1 bilion untuk konsesi FY26, dan permintaan ubat generik yang berterusan, yang membantu mengurangkan inflasi perubatan dalam sektor awam dan swasta," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

MBSB berkata, Pharmaniaga mencatat prestasi kukuh bagi 3QFY25, didorong oleh peningkatan jualan SKU dan permintaan tinggi vaksin, walaupun keuntungan masih berada di bawah sasaran pasaran.

 

Mengikut taklimat kumpulan, 3QFY24 menyaksikan penghapusan denda sekali sahaja sebanyak RM124.9 juta dan tambahan RM2.5 juta keuntungan daripada inventori lama. 

 

"Jika dikecualikan faktor sekali sahaja ini, hasil 3QFY25 dan 9MFY25 meningkat masing-masing +11% dan +10% berbanding tahun sebelumnya, manakala PATAMI teras mencatatkan kenaikan 107% dan 226% setara tahun sebelumnya," katanya.

 

Menuryt MBSB, Pharmaniaga menjelaskan yuran pengangkutan bagi produk APPL baru ke Sabah dan Sarawak adalah perbelanjaan sekali sahaja sebanyak RM4.4 juta. Kecemasan penghantaran udara terpaksa dilakukan susulan permintaan segera daripada kerajaan.

 

Pertumbuhan jumlah SKU terus menggalakkan, meningkat 19% berbanding tahun sebelumnya, lebih tinggi berbanding pertumbuhan 1Q (+12%) dan 2Q (+14%). 

 

Namun, 4QFY25 dijangka menyaksikan jualan volum lebih perlahan akibat pesanan kerajaan untuk produk farmaseutikal dan barangan pengguna yang lebih rendah. 

 

"Jumlah kumulatif SKU setakat 9 bulan sudah melebihi FY24, menjanjikan prospek positif bagi baki tahun ini. Kumpulan mensasarkan konsesi RM2 bilion di Malaysia dan IDR5 trilion di Indonesia menjelang akhir tahun," katanya.

 

Sektor bioperubatan juga menunjukkan lonjakan menggalakkan. Jualan vaksin bagi bulan Oktober meningkat 4 kali ganda berbanding September, didorong oleh musim permintaan Southern Hemisphere SKYCellFlu. 

 

Produk lain seperti Tegoprazan dan Parecoxib (NSAID) juga mencatatkan pertumbuhan dramatik, menandakan permintaan untuk ubat penyakit tidak berjangkit (NCD) kekal kukuh di hospital swasta dan pakar.

 

Dalam perkembangan strategik, Pharmaniaga kini satu-satunya syarikat di Malaysia yang mempunyai kapasiti menghasilkan insulin manusia, yang telah diluluskan oleh NPRA. 

 

"Kumpulan menjangkakan konsesi insulin akan bermula pada awal 2026, membuka peluang pertumbuhan jangka panjang bagi segmen Lifesciences," katanya. - DagangNews.com