KUALA LUMPUR 15 Jan — Sektor perladangan berdepan cabaran kritikal dengan paras stok minyak sawit mentah (MSM) tinggi dan eksport yang lemah, meskipun pengeluaran dijangka meningkat pada 2026.
Menurut MBSB Research, kebimbangan tersebut berdasarkan pandangan firma penyelidikan itu hasil dari Persidangan dan Seminar Minyak Sawit Malaysia 2026 anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Ia menekankan isu stok pada Disember 2025 mencatatkan paras tertinggi sejak Februari 2019, dengan sebanyak 3.05 juta tan, disebabkan eksport menurun 9.7% tahun ke tahun (YoY) kepada 15.3 juta tan.
"Ini berikutan permintaan lembap dari negara utama seperti India, China, dan Kesatuan Eropah (EU), Kami menyifatkan situasi ini menuntut industri mengubah pendekatan," katanya dalam nota hari ini.
Antaranya jelas MBSB Research, dengan syarikat berkaitan memberi tumpuan kepada usaha peningkatan mekanisasi, program penanaman semula, dan kecekapan ladang untuk mengekalkan tahap daya saing.
Dari segi prestasi 2025, kawasan tanaman naik 1.6% YoY kepada 5.70 juta hektar, dan pengeluaran MSM mencapai rekod 20.28 juta tan, disokong peningkatan buah tandan segar (BTS) 6.4% YoY.
Selain itu, produktiviti buruh juga meningkat, dengan kadar perahan minyak (OER) sedikit naik kepada 19.74%, menunjukkan peningkatan kecekapan operasi syarikat-syarikat perladangan tempatan.
"Import minyak sawit naik tiga kali ganda, terutama untuk penggunaan kilang oleokimia tempatan, bagi tujuan optimum kos bahan mentah, dan pasaran global dikuasai Malaysia dengan 24%," katanya.
Bagaimanapun, MBSB Research menyatakan perkembangan eksport pula ketika ini menghadapi tekanan daripada Indonesia sendiri dan persaingan sengit melibatkan harga komoditi minyak sayuran lain.
MPOB turut mengumumkan pelaksanaan sistem baharu sepenuhnya pada 2026, mengintegrasikan platform GeoSAWIT dan e-MSPO, bertujuan menyediakan data lengkap dari penjual BTS kepada pengimport.
Usaha tersebut jelas firma itu, sebagai mematuhi keperluan pasaran global termasuk EUDR, serta meningkatkan pengesahan melalui pemetaan geospatial dan pemantauan hutan menggunakan satelit.
"Bagi prospek 2026, kami menjangkakan pengeluaran MSM meningkat +1.0% YoY kepada 20.48 juta tan, manakala eksport dijangka menurun sedikit 1.0% YoY kepada 15.1 juta tan," jelas MBSB Research.
Harga MSM dijangka kekal dalam julat RM4,500 setiap tan, tertekan oleh stok tinggi dan eksport lemah, dengan ia mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor perladangan. - DagangNews.com








