KUALA LUMPUR 26 Sept - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mencapai persetujuan lisan bagi pelaksanaan Skim Parkir Pintar Selangor (Selangor Intelligent Parking atau SIP), namun menegaskan setiap butiran kewangan perlu diperincikan sebelum sebarang perjanjian ditandatangani.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon berkata, fokus utama majlis adalah memastikan pendapatan kutipan parkir tidak berkurangan, malah meningkat selepas pelaksanaan skim tersebut.
“Kami masih memuktamadkan kadar pembahagian keuntungan kepada pihak majlis. Semua terma perlu disenaraikan dengan jelas kerana ia melibatkan sumber hasil yang penting,” katanya selepas mesyuarat tertutup bersama Selmax Sdn Bhd dan ahli majlis MBPJ, menurut laporan The Star.
Sementara tiga lagi pihak berkuasa tempatan — Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Perbandaran Selayang — telah menerima skim ini, Zahri menegaskan MBPJ hanya akan menandatangani perjanjian selepas semua syarat dimuktamadkan menjelang hujung tahun.
“Kami mahu semua perjanjian ditandatangani terlebih dahulu sebelum melaksanakan skim ini. Kita tidak mahu berdepan keadaan di mana timbul masalah sebelum perjanjian dimeterai dan akhirnya majlis terpaksa menanggung akibat,” ujarnya.
Pada Khamis, seorang bekas ahli majlis MBPJ menyokong keputusan majlis untuk menangguhkan tandatangan perjanjian SIP, sambil menyifatkan penswastaan sumber pendapatan stabil itu bercanggah dengan prinsip tadbir urus yang baik.
Peguam Derek Fernandez, yang berkhidmat dalam MBPJ dari 2008 hingga 2023, menegaskan bahawa pihak berkuasa tempatan diberi kuasa oleh undang-undang untuk mengurus dan memungut hasil parkir sendiri.
“Hasil kutipan parkir adalah sebahagian daripada dana pihak berkuasa tempatan di bawah Seksyen 39 dan 40 Akta Kerajaan Tempatan 1976,” kata Fernandez.
“Kuasa memungut hasil diberikan kepada MBPJ melalui undang-undang persekutuan, iaitu Akta Pengangkutan Jalan 1967, bukannya kerajaan negeri,” tambahnya.
Skim SIP yang dianugerahkan kepada Selmax Sdn Bhd itu mencadangkan sistem parkir berpusat bermula dengan empat pihak berkuasa tempatan, dengan pembahagian hasil 50% kepada syarikat, 40% kepada pihak berkuasa tempatan dan 10% kepada Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI). - DagangNews.com








