KUALA LUMPUR 17 Nov – Maybank Investment Bank mengunjurkan prospek ekonomi Malaysia semakin cerah dengan pertumbuhan KDNK sebenar untuk 2025 dinaikkan kepada 4.7% daripada 4.2%, selepas prestasi kukuh 9M 2025 yang mencatat pertumbuhan +4.7%.
Menurut bank pelaburan itu, untuk 2026, unjuran juga disemak naik kepada 4.5% daripada 4.1%, menandakan keyakinan yang semakin meningkat terhadap asas ekonomi negara.
Maybank IB berkata, permintaan domestik yang teguh — walaupun berdepan ketidaktentuan permintaan luar — kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan.
"Faktor ini dilihat terus memberikan kestabilan kepada ekonomi, seiring sokongan pendapatan isi rumah dan rangka kerja dasar kerajaan yang pro-pertumbuhan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Permintaan domestik kukuh, disokong pendapatan dan dasar fiskal
Menurut Maybank IB, indikator pertumbuhan pendapatan isi rumah serta pelbagai langkah dasar kerajaan menunjukkan perbelanjaan penggunaan berada pada landasan positif.
Katanya, pemulihan pelancongan pasca pandemik turut memperkukuh permintaan domestik, dengan kemasukan pelancong yang terus meningkat dan menyumbang kepada aktiviti runcit, hospitaliti dan perkhidmatan.
Tambahnya, kitaran pelaburan yang kukuh dijangka berterusan, disokong oleh jumlah pelaburan swasta yang diluluskan tetapi belum direalisasikan.
Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), hanya 20% kapasiti pelaburan pusat data (DC) yang diluluskan setakat ini telah direalisasikan, menunjukkan potensi besar aliran pelaburan masuk dalam tempoh beberapa tahun mendatang.
"Selain itu, peningkatan perbelanjaan modal (capex) sektor awam bersepadu turut memberikan lonjakan tambahan kepada projek infrastruktur dan pembangunan negara," tambahnya.
Maybank IB berkata, menambah kekuatan kepada prospek pelaburan ialah perjanjian perdagangan baharu antara AS dan Malaysia, yang melibatkan pembelian oleh syarikat Malaysia serta syarikat multinasional (MNC) dalam negara untuk tempoh 5 hingga 10 tahun.
Perjanjian ini merangkumi perolehan bernilai AS$169 bilion, terutamanya dalam industri intensif modal termasuk penerbangan, aeroangkasa, pusat data (DC) dan semikonduktor.
Maybank IB melihat komitmen ini sebagai pemangkin penting kepada gelombang pelaburan baharu dalam sektor berteknologi tinggi.
Katanya, walaupun permintaan luar kekal tidak menentu akibat kitaran teknologi dipacu AI, perubahan hubungan perdagangan AS–China serta ketidaktentuan tarif global, asas ekonomi Malaysia dilihat lebih tersusun dan berdaya tahan.
"Gabungan permintaan domestik yang mapan, pelaburan yang semakin rancak dan pemulihan pelancongan memberikan Malaysia landasan kukuh untuk mencapai pertumbuhan yang lebih mampan dalam tahun-tahun mendatang," katanya. - DagangNews.com








