KUALA LUMPUR 15 Jun – ViTrox Corporation Bhd dijangka mencatat sejarah baharu apabila hasil syarikat itu berpotensi melepasi RM1 bilion buat pertama kali pada tahun ini, disokong oleh permintaan kukuh terhadap peralatan semikonduktor dan aplikasi berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, pengeluar peralatan pemeriksaan semikonduktor itu kini beroperasi hampir pada kapasiti maksimum berikutan peningkatan tempahan bagi sistem visi mesin (machine vision systems) dan produk pemeriksaan papan litar automatik.
Menurut firma penyelidikan itu, lonjakan permintaan turut disumbangkan oleh sebuah penyedia perkhidmatan awan global, manakala ViTrox kini sedang mengadakan rundingan dengan dua lagi syarikat dalam segmen sama yang berpotensi menjadi pelanggan baharu.
"Permintaan yang semakin meningkat daripada sektor pusat data dan AI terus menyokong prospek pertumbuhan syarikat dalam tempoh terdekat dan sederhana," katanya dalam nota penyelidikan.
Maybank IB berkata, peningkatan permintaan terhadap produk yang menikmati status perintis (pioneer status) dijangka mengurangkan kadar cukai efektif syarikat kepada paras satu digit menjelang akhir tahun ini berbanding 26% ketika ini.
Katanya, keadaan itu berpotensi memberikan peningkatan ketara kepada keuntungan kumpulan sepanjang tempoh 2027 hingga 2028.
Saham Telah Melonjak 88%
Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut menaikkan harga sasaran saham ViTrox kepada RM9 sesaham daripada sebelumnya, sekali gus menjadi sasaran tertinggi dalam kalangan firma penyelidikan yang membuat liputan terhadap syarikat berkenaan.
Maybank IB turut mengekalkan saranan "Beli" terhadap saham tersebut, dengan harga sasaran baharu itu mencerminkan potensi kenaikan sekitar 25% berbanding harga penutupan terkini.
ViTrox merupakan pengeluar mesin pemeriksaan automatik yang digunakan untuk mengesan kecacatan pada komponen semikonduktor dan pemasangan papan litar bercetak.
Produk utama terbaharunya mampu mengesan kecacatan pada cip yang dipasang dan dipateri secara terus pada permukaan papan litar, selaras dengan keperluan teknologi semikonduktor generasi baharu.
Setakat tahun ini, saham ViTrox telah melonjak 88%, sekali gus meningkatkan nilai permodalan pasarannya ke paras rekod kira-kira RM14 bilion.
Kenaikan itu didorong oleh sentimen positif terhadap sektor teknologi global berikutan pertumbuhan pesat pembangunan pusat data yang diperlukan untuk menyokong penggunaan AI dan pengkomputeran berprestasi tinggi.
Maybank IB kini mengunjurkan ViTrox mencatat keuntungan bersih sebanyak RM253 juta pada tahun kewangan semasa selepas mengambil kira peningkatan penghantaran tempahan dan kelebihan operasi yang lebih baik.
Firma itu turut menjangkakan margin keuntungan syarikat akan terus bertambah baik menghampiri paras tertinggi sejarah, walaupun sebahagian keuntungan akan dilaburkan semula bagi mengekalkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan menyokong pembangunan jangka panjang syarikat. - DagangNews.com








