KUALA LUMPUR 24 Julai – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membenarkan dua syarikat e-hailing, Maxim dan inDrive, menyambung semula operasi selepas kedua-duanya mematuhi syarat peraturan yang ditetapkan.
Sebelum ini, APAD telah mengeluarkan Notis Pembatalan Lesen Perniagaan Perantaraan (LPP) terhadap Aist Malaysia Sdn Bhd (Maxim) dan ID Applications Sdn Bhd (inDrive), yang sepatutnya berkuat kuasa pada 24 Julai 2025.
Tindakan itu dibuat susulan audit yang mendapati kedua-dua syarikat gagal memastikan pemandu mereka memiliki Permit Kenderaan E-Hailing (EVP) yang sah.
Bagaimanapun, kedua-dua syarikat telah membuat rayuan kepada Kementerian Pengangkutan dan diarahkan melaksanakan langkah pembetulan sebelum tarikh kuat kuasa.
“inDrive dan Maxim telah mengambil langkah untuk menambah baik sistem mereka agar hanya pemandu yang memiliki EVP yang sah boleh menerima permintaan perjalanan,” kata APAD dalam satu kenyataan.
Selain itu, syarikat-syarikat berkenaan juga memberikan akses “paparan sahaja” kepada APAD terhadap data pemandu mereka bagi membolehkan semakan silang dibuat dengan rekod APAD.
Pemeriksaan rawak yang dijalankan pada 11 Julai lalu mengesahkan bahawa semua pemandu yang disemak memiliki permit yang sah berdasarkan pengesahan dalaman APAD.
“APAD dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati tindakan pembetulan tersebut memuaskan, namun kedua-dua syarikat akan diletakkan di bawah pemantauan selama tiga bulan bermula 24 Julai,” tambah kenyataan itu.
Semakan bulanan bersama APAD akan dilakukan dan pemeriksaan rawak akan diteruskan melalui aplikasi mudah alih syarikat untuk memastikan pematuhan secara masa nyata. - DagangNews.com








