MAS, Firefly sediakan 2,400 penerbangan tambang murah sempena Tahun Baharu Cina - MAG | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAS, Firefly sediakan 2,400 penerbangan tambang murah sempena Tahun Baharu Cina - MAG

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Jan – Malaysia Aviation Group (MAG) akan mengendalikan lebih 2,400 penerbangan sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina 2026 bagi memenuhi permintaan tinggi perjalanan balik kampung khususnya antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur.

 

Tempoh operasi perayaan itu meliputi 11 hingga 23 Februari 2026 dengan tambahan sehingga 198 penerbangan  oleh Malaysia Airlines dan Firefly.

 

MAG dalam satu kenyataan memaklumkan ia adalah sebahagian daripada perancangan kapasiti proaktif kumpulan berkenaan bagi memastikan kelancaran perjalanan pada waktu puncak.

 

 

 

 

 

 

“Dalam tempoh tersebut, Malaysia Airlines akan mengendalikan sehingga 1,498 penerbangan, termasuk 130 penerbangan tambahan bagi menampung lonjakan permintaan sempena perayaan.

 

“Sementara itu, Firefly akan mengendalikan sehingga 962 penerbangan antara 13 hingga 23 Februari 2026, termasuk 68 penerbangan tambahan.

 

“Ini akan mengukuhkan lagi keterhubungan domestik sepanjang tempoh puncak perjalanan pada musim perayaan tersebut,” katanya dalam kenyataan itu.

 

t

 

t

 

Operasi yang diperluaskan itu memberi tumpuan kepada laluan utama balik kampung antara Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak, termasuk destinasi seperti Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan. 

 

Malaysia Airlines dan Firefly akan mengendalikan rangkaian domestik yang diperkukuh sepanjang musim perayaan ini selaras peranan MAG sebagai penghubung utama rakyat Malaysia pada waktu perjalanan, antara yang paling sibuk dalam tempoh setahun.

 

Sebagai menyokong inisiatif perjalanan musim perayaan Kerajaan Malaysia, Malaysia Airlines dan Firefly turut menawarkan tambang bersubsidi sehala all-in dari Kuala Lumpur ke destinasi terpilih di Malaysia Timur sepanjang tempoh puncak Tahun Baharu Cina dari 13 hingga 16 Februari 2026.

 

Malaysia Airlines menawarkan tambang bersubsidi sehingga RM569 sehala all-in dari Kuala Lumpur ke destinasi termasuk Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Labuan, Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu. 

 

Firefly pula menawarkan tambang bersubsidi sehingga RM548 sehala all-in ke destinasi terpilih di Malaysia Timur, termasuk Kota Kinabalu, Tawau, Kuching dan Sibu.

 

 

 

 

 

Tambang bersubsidi itu melengkapi jadual penerbangan perayaan yang diperluaskan, sekali gus membantu mengurangkan kos perjalanan rakyat serta memastikan akses yang lebih luas kepada kapasiti tambahan dan keterhubungan yang stabil sepanjang tempoh puncak perayaan.

 

Bagi penumpang yang merancang perjalanan ke luar negara, kempen Global New Year masih ditawarkan sehingga 20 Januari 2026 bagi perjalanan sehingga 30 November 2026, dengan tambang pergi balik all-in bermula dari RM159. 

 

Ahli program kesetiaan Enrich turut menikmati diskaun tambahan lima peratus bagi tambang promosi tersebut. - DagangNews.com