Mampukah DIPN dilaksanakan atau hanya jadi satu lagi dasar atas kertas? Analisis Berita oleh Zaki Salleh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mampukah DIPN dilaksanakan atau hanya jadi satu lagi dasar atas kertas? Analisis Berita oleh Zaki Salleh

Malaysia perlukan satu dasar industri pertahanan yang jelas supaya dapat benar-benar membangunkan industri yang berdikari - gambar hiasan.

Pelancaran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim pada Rabu lalu membuka lembaran baru dalam usaha Malaysia untuk mengukuhkan industri pertahanan tempatan. 

 

Ini menandakan komitmen kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan kepada teknologi asing dan memastikan Malaysia memiliki industri pertahanan yang berdaya saing.

 

Sepatutnya DIPN dilancarkan semasa LIMA 2025 lalu di Langkawi tetapi tertangguh.

 

Bagaimanapun, banyak persoalan timbul mengenai sama ada dasar ini mampu direalisasikan atau hanya akan menjadi satu lagi projek kerajaan yang tidak mencapai matlamat diinginkan.

 

Helikopter
Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertahanan, Dato' Seri Mohamad Khaled Nordin semasa melancarkan DIPN di Kuala Lumpur.

 

Dalam tempoh 7 tahun lalu, perancangan mengenai DIPN dilihat sering berubah-ubah mengikut peralihan kerajaan dan pertukaran menteri. 

 

Sepertimana dalam ucapan Perdana Menteri, DIPN dilancarkan dengan objektif utama untuk memperkukuh sektor-sektor strategik dalam industri pertahanan seperti maritim, aeroangkasa, automotif ketenteraan, persenjataan, siber dan elektromagnetik. 

 

Matlamat utamanya adalah untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap teknologi asing, seterusnya memastikan negara mempunyai keupayaan untuk menghasilkan produk pertahanan secara tempatan dengan standard yang tinggi.

 

Pelancaran DIPN adalah hasil daripada kajian yang dilakukan melalui Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang diluluskan pada tahun 2019. 

 

Dalam kajian tersebut, kerajaan menekankan keperluan untuk memperkukuh industri pertahanan melalui pelan strategik yang dikenali sebagai Dasar Sains, Teknologi dan Industri Pertahanan (DSTIP). 

 

Pesawat

 

Kapal

 

Melalui DSTIP, beberapa inisiatif penting diperkenalkan termasuk penstrukturan semula Majlis Industri Pertahanan, Penguatkuasaan dan Pertahanan Malaysia (MIDES) serta memperkenalkan mekanisme untuk menyokong pembangunan industri pertahanan negara.

 

Namun, seperti yang diketahui, pelancaran satu dasar khusus untuk memajukan industri pertahanan di Malaysia seperti DIPN ini bukanlah kali pertama digerakkan. 

 

Sejarah pelan pembangunan industri pertahanan Malaysia mencatatkan beberapa percubaan yang sering tertangguh, beralih arah dan kadang-kadang tidak mencapai matlamat yang diinginkan. 

 

Sebagai contoh, kerajaan pada tahun 1999 menubuhkan Majlis Industri Pertahanan Negara (MIPN) yang berfungsi untuk memastikan pembangunan industri pertahanan tempatan berjalan dengan lancar. 

 

Objektif MIPN hendak memastikan pembangunan industri pertahanan tempatan dilaksanakan secara teratur.

 

Pesawat

 

 

Selepas 11 tahun, MIPN kemudian dinaik taraf sebagai Majlis Industri Pertahanan, Penguatkuasaan dan Pertahanan Malaysia (MIDES).

 

Setelah lebih dua dekad, adakah perubahan struktur dan perancangan ini benar-benar membawa impak yang signifikan?

 

Bagi berlaku jujur, ada industri pertahanan tempatan yang berdaya saing tetapi syarikat yang bertindak selaku orang tengah masih banyak manakala kemajuan membabitkan pemindahan teknologi masih rendah.

 

Pencapaian ini jauh berbeza dengan negara jiran serantau, misalnya Indonesia dan Thailand yang dilihat mempunyai dasar industri pertahanan yang jelas.

 

Secara ringkas, DIPN dilaksanakan melalui empat fasa utama yang menggariskan langkah-langkah untuk memperkukuh industri pertahanan negara. 

 

Pesawat

 

Pesawat

 

Kenderaan

 

Fasa pertama melibatkan penetapan asas yang akan memastikan semua aspek asas bagi pembangunan industri pertahanan tempatan diwujudkan dengan kukuh. 

 

Fasa kedua adalah pengukuhan teknologi, yang merangkumi usaha untuk membangunkan dan mengintegrasi teknologi pertahanan tempatan yang boleh bersaing di pasaran antarabangsa.

 

Fasa ketiga pula menumpukan kepada pengembangan keupayaan industri pertahanan negara, manakala fasa terakhir adalah pengoperasian penuh di mana Malaysia diharapkan sudah mampu bersaing secara global dengan negara-negara besar dalam bidang pertahanan. 

 

Pengoperasian penuh ini dilihat sebagai satu pencapaian penting kerana ia melibatkan penghasilan produk dan teknologi yang memenuhi standard pertahanan antarabangsa dan mampu bersaing dalam pasaran dunia.

 

Persoalan besar yang timbul adalah sejauh mana fasa-fasa ini akan berjaya dicapai dalam ketidakstabilan politik yang sering berlaku di Malaysia dan perubahan kepimpinan yang boleh mempengaruhi kesinambungan dasar-dasar ini. 

 

Selain itu, faktor pelaburan yang tinggi dan risiko ketidakpastian pasaran juga menjadi cabaran utama dalam merealisasikan matlamat DIPN.

 

Pesawat

 

Kenderaan

 

 

Menghasilkan teknologi pertahanan bukan sahaja memerlukan kos yang besar, tetapi juga mengambil masa yang panjang untuk mencapai kemajuan yang signifikan.

 

Justeru, sokongan kerajaan adalah penting dalam memastikan pelaburan yang berterusan dan kestabilan dasar yang dapat memberi jaminan kepada pelabur serta pengusaha industri pertahanan tempatan.

 

Menilai masa depan DIPN, kejayaannya sangat bergantung kepada pelaksanaan yang konsisten, sokongan kerajaan yang berterusan, serta komitmen untuk memperkasa syarikat tempatan dalam sektor pertahanan. 

 

Jika DIPN hanya bertindak sebagai dokumentasi tanpa tindakan yang jelas dan terperinci, ia mungkin menjadi satu lagi dasar yang gagal untuk mencapai matlamat yang diinginkan.

 

Sehubungan itu, dasar ini perlu dilaksanakan dengan ketelusan, keterbukaan kepada inovasi tempatan, serta penglibatan semua pihak berkepentingan. 

 

Jika semua elemen ini dapat dipenuhi, DIPN berpotensi untuk meningkatkan daya saing industri pertahanan Malaysia dan mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi asing.

 

Namun, dalam konteks negara yang masih berdepan dengan cabaran politik dan ekonomi, kejayaannya hanya dapat diukur dalam tempoh yang lebih panjang dan melalui usaha berterusan. - DagangNews.com