KUALA LUMPUR 22 Julai - Putrajaya akan terus bersuara menentang kekejaman dan ketidakadilan yang berlaku di Timur Tengah dan tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan daripada negara lain, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata Malaysia akan kekal tegas dalam isu tersebut, walaupun ia mungkin membawa kepada tarif yang lebih tinggi dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
“Pendirian kita sebagai sebuah negara yang bebas dan merdeka akan tetap tegas walaupun terdapat bantahan atau ugutan,” katanya semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) telah bertanya sama ada pendirian tegas Malaysia terhadap konflik di Timur Tengah menjadi faktor keputusan Trump mengenakan tarif timbal balik yang lebih tinggi ke atas barangan Malaysia.
Anwar berkata proses rundingan berhubung tarif tersebut masih berjalan.
Beliau menambah Malaysia telah menyuarakan pandangannya mengenai tarif berkenaan melalui beberapa mesyuarat dengan diplomat AS, termasuk pertemuan terbaru dengan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio.
Beliau berkata pandangan Malaysia mengenai isu Palestin turut disentuh dalam pertemuan tersebut, namun ia bukan topik utama perbincangan.
Keputusan AS (mengenai tarif) adalah tidak adil, bersifat unilateral, dan bertentangan dengan prinsip Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) serta perjanjian sedia ada, yang telah kita nyatakan,” tambah Anwar.
Malaysia dikenakan tarif timbal balik sebanyak 24% pada April, dan ia baru-baru ini dinaikkan kepada 25% walaupun rundingan awal telah diadakan antara wakil kedua-dua negara.
Anwar turut memaklumkan kepada Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) bahawa Malaysia sedang meneliti pelbagai saluran bagi memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada rakyat Gaza.
“Berdasarkan taklimat terkini oleh Kementerian Luar Negeri, kita masih mempunyai dana dan kemudahan untuk menyalurkan bantuan.
“Saya telah meminta kerjasama daripada Presiden Mesir (Abdel Fattah El-Sisi), tetapi usaha kita masih disekat oleh Israel di sempadan Rafah,” katanya.
Anwar menambah, usaha kemanusiaan juga sedang diselaraskan dengan Qatar dan Jordan.
“(Kita minta) bantuan Jordan untuk membawa masuk bantuan seperti makanan dan ubat-ubatan ke Gaza, tetapi ini juga telah disekat (oleh Israel),” katanya. - DagangNews.com








