Malaysia mesti ‘angkat siling dan naikkan lantai’ bagi pertumbuhan ekonomi - PM  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia mesti ‘angkat siling dan naikkan lantai’ bagi pertumbuhan ekonomi - PM 

Oleh Muhammad Iman

SHAH ALAM 26 Ogos – Kemajuan ekonomi Malaysia bergantung kepada usaha meningkatkan kualiti pembangunan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Beliau berkata, kerajaan perlu “mengangkat siling” dengan merancakkan pelaburan dalam industri serta teknologi baharu, pada masa sama “menaikkan lantai” untuk memastikan gaji lebih baik dan pertumbuhan inklusif untuk semua.

 

Berucap pada majlis pelancaran inisiatif CD:NXT oleh CelcomDigi hari ini, Anwar menegaskan Malaysia mesti meneroka sektor baharu seperti transformasi digital dan tenaga boleh diperbaharui, di samping terus memperkukuh sektor teras termasuk pertanian.

 

Beliau turut merujuk kepada projek besar yang sedang dijalankan seperti Asean Power Grid, yang bakal menghubungkan Vietnam ke Kelantan dan Singapura, selain menghubungkan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia, selatan Filipina serta Indonesia.

 

“Jika kita tidak angkat siling dan terus kekal statik, negara tidak boleh dianggap berjaya.

 

“Anak-anak kita tidak akan mendapat akses kepada pekerjaan lebih baik, pengangguran akan meningkat dan kemiskinan tidak dapat diselesaikan,” katanya dalam ucapan.

 

Anwar menegaskan kejayaan sektor swasta mesti diterjemahkan kepada manfaat untuk rakyat.

 

“Apa makna kejayaan CelcomDigi atau syarikat gergasi lain, jika pencapaian mereka tidak memberi manfaat kepada rakyat terbanyak?

 

“Latihan untuk anak muda, pembangunan bakat dan kemahiran, kecerdasan dan keupayaan mereka meneroka bidang baharu – inilah yang mesti menjadi fokus kita,” ujarnya.

 

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada CelcomDigi dan Khazanah Nasional kerana melabur dalam penyelidikan, latihan dan inovasi, khususnya menerusi CD:NXT.

 

Perdana Menteri juga menekankan kepentingan tadbir urus yang bersih dan telus.

 

“Negara ini pernah mewarisi budaya berlebihan dan penyalahgunaan kuasa, apabila pemimpin memperkayakan diri atas nama bangsa atau keistimewaan. Kita mesti hapuskan amalan ini.

 

“Tanpa tadbir urus baik, sama ada dalam kerajaan atau syarikat, negara tidak akan berjaya,” tegas beliau.

 

Mengenai kecerdasan buatan (AI), Anwar memberi amaran agar tidak beranggapan bahawa penggunaan teknologi secara automatik akan meningkatkan produktiviti.

 

Merujuk kepada apa yang beliau sebut sebagai “Paradoks Produktiviti”, beliau mengambil contoh era komputer apabila harapan terhadap persekitaran tanpa kertas sebaliknya membawa kepada birokrasi lebih besar.

 

“Pengenalan AI tidak secara automatik bermaksud produktiviti lebih tinggi. Sebab itu penyelidikan dan inovasi amat penting,” katanya.

 

Pada masa sama, Anwar menyeru rakyat Malaysia menguasai teknologi baharu sambil tetap berpijak di bumi sendiri.

 

“Kita mesti meraih kejayaan dengan teknologi canggih, tetapi tetap berakar pada bumi – kepada bahasa, budaya, identiti dan jiwa Malaysia,” katanya. - DagangNews.com