Malaysia desak hentikan keganasan di Sudan - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia desak hentikan keganasan di Sudan - PM Anwar

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 3 Nov – Malaysia menggesa supaya keganasan di Sudan dihentikan serta-merta dan menyeru supaya orang awam dilindungi sepenuhnya mengikut prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Perdana Menteri berkata, beliau amat bimbang dengan tragedi yang sedang berlaku di El Fasher dan seluruh wilayah Darfur, Sudan yang disifatkannya sebagai bencana kemanusiaan besar melibatkan pembunuhan beramai-ramai, kebuluran dan perpindahan manusia dalam skala yang mengejutkan dunia.

 

“Laporan mengenai kekejaman yang mungkin menjurus kepada jenayah terhadap kemanusiaan, malah genosid, adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. 

 

"Malaysia menggesa agar semua bentuk keganasan dihentikan serta-merta dan orang awam dilindungi sepenuhnya selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsi di Facebook hari ini.

 

Anwar turut menyeru komuniti antarabangsa supaya bertindak tegas untuk menghentikan penderitaan berterusan rakyat Sudan, memulihkan akses bantuan kemanusiaan dan menyokong usaha ke arah proses damai yang tulen serta berasaskan kebertanggungjawaban.

 

Menurut laporan International Organization for Migration (IOM) semalam, sekurang-kurangnya 1,205 penduduk telah dipindahkan dari bandar Bara dan Umm Ruwaba di negeri Kordofan Utara, manakala 360 lagi melarikan diri dari Al-Abbasiya dan Delami di Kordofan Selatan berikutan situasi keselamatan yang semakin memburuk, lapor agensi berita Anadolu Ajansi.

 

Sejak konflik tercetus pada 2023, Sudan dilaporkan telah kehilangan lebih 20,000 nyawa manakala lebih 15 juta penduduk kini terpaksa meninggalkan kediaman mereka, menjadikannya antara krisis perpindahan terbesar di dunia ketika ini.

 

Anwar menegaskan bahawa Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Sudan dan akan terus menyokong usaha antarabangsa bagi menamatkan keganasan serta memulihkan keamanan di rantau tersebut. - DagangNews.com