KUALA LUMPUR 4 Nov – Malaysia muncul sebagai penerima pengecualian tarif terbesar daripada Amerika Syarikat (AS), mengatasi rakan-rakan ASEAN lain, menurut CGS International (CGSI).
Firma penyelidikan itu berkata lebih 60 peratus eksport Malaysia ke AS kini bebas tarif, tertinggi di rantau ini, berbanding Thailand (43%) dan Vietnam (44%).
Bagaimanapun, menurut CGSI pendedahan ekonomi terhadap tarif AS masih berbeza-beza antara negara ASEAN.
"Vietnam dilaporkan masih terdedah pada 16.1 peratus daripada KDNK, mencerminkan model ekonomi berorientasikan eksport dan pergantungan tinggi terhadap pasaran AS.
"Bagi Malaysia dan Thailand, pendedahan langsung dikurangkan kepada angka satu digit, manakala Indonesia dan Singapura, walaupun tidak menerima pengecualian 26 Oktober, masih mencatatkan pendedahan rendah," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
CGSI percaya risiko tarif di ASEAN mungkin tidak seteruk yang dibimbangi pasaran, berikutan pelaksanaan secara berperingkat dan fleksibiliti dasar yang diberikan.
AS dilaporkan meminta ekonomi ASEAN mengurangkan tarif secara berperingkat, dan firma itu menjangkakan pendekatan serupa apabila Washington menaikkan tarifnya sendiri.
Selain itu, AS bersetuju untuk memberikan “pertimbangan khas” kepada empat negara ASEAN jika berlaku kenaikan tarif pada masa hadapan, walaupun perlindungan ini masih tidak setanding dengan yang ditawarkan kepada Kesatuan Eropah dan Jepun.
Firma itu juga menekankan kehadiran syarikat multinasional berasaskan AS di ASEAN mengurangkan risiko, sambil menambah bahawa ASEAN sedang mempelbagaikan perdagangan untuk menghadapi kesan negatif tarif timbal balik. - DagangNews.com








