KUALA LUMPUR 31 Okt – Malaysia telah mencatat kemajuan besar dalam membangunkan ekosistem Kecerdasan Buatan (AI) Berdaulat, susulan siapnya pusat data dikuasakan Nvidia milik YTL Power International Bhd di Kulai, Johor, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, perkembangan itu dimaklumkan semasa pertemua di Korea Selatan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang, serta Pengarah Urusan YTL Power, Datuk Yeoh Seok Hong.
"Ini merupakan pertemuan kedua kami, selepas pertemuan di Putrajaya sebelum ini di mana kita telah mengumumkan pelaburan untuk pembangunan infrakstruktur kecerdasan buatan (AI) menggunakan tenaga hijau bernilai RM10 billion.
"Perbincangan kami menzahirkan kemajuan besar Malaysia dalam mengangkat agenda Sovereign AI daripada penubuhan Pejabat AI Kebangsaan dan pelancaran ILMU, hinggalah kejayaan pembinaan pusat data AI bertaraf dunia di Kulai, Johor hasil kolaborasi YTL Power dan NVIDIA," katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.
Perdana Menteri kini berada di Gyeongju, Republik Korea bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi sempena sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).
Anwar menegaskan komitmen Malaysia untuk muncul sebagai antara negara peneraju AI menjelang 2030, bukan sekadar pengguna teknologi, sebaliknya sebagai pencipta nilai dan pemacu inovasi yang merancakkan ekonomi serta mensejahterakan rakyat.
Katanya, membangunkan AI berdaulat adalah langkah penting untuk menjamin kedaulatan digital negara, membina ekosistem yang berasaskan kepercayaan, keselamatan dan tanggungjawab moral.
"Saya merakamkan penghargaan kepada NVIDIA dan YTL atas kemajuan ini, semoga ia mempercepatkan agenda AI Malaysia demi kemaslahatan seluruh rakyat serta masa depan ekonomi MADANI yang inklusif, beretika dan mampan," katanya.
Sementara itu di Taman Pusat Data Hijau YTL berkapasiti 600MW di Kulai itu dilengkapi dengan GPU Nvidia NVL72 Grace Blackwell (GB 200) yang menggunakan sistem penyejukan cecair, serta ILMU, model bahasa besar pertama Malaysia — satu langkah besar dalam membangunkan AI Berdaulat Malaysia.
Sejak pertemuan pertama antara Anwar dan Huang, Malaysia telah menubuhkan Pejabat AI Kebangsaan di bawah Kementerian Digital, memperkenalkan rancangan untuk Awan AI Berdaulat, serta melaksanakan pelbagai program peningkatan kemahiran dan penerapan AI di sektor awam dan swasta.
Malaysia turut melancarkan ILMU, model bahasa besar (LLM) pertama negara, semasa Sidang Kemuncak AI ASEAN pada Ogos lalu, menandakan satu lagi langkah penting dalam memperkukuh keupayaan AI nasional. - DagangNews.com








