KUALA LUMPUR 9 Jun – Malaysia Aviation Skills Standard Association (MASSA) menjalin kerjasama strategik bersama syarikat teknologi dari Korea Selatan, Braindrop bagi meneroka penggunaan teknologi keselamatan baharu dalam industri penerbangan negara.
Kerjasama itu memberi fokus kepada usaha menilai teknologi kawalan kebakaran yang dibangunkan oleh Braindrop, khususnya bagi menangani risiko berkaitan bateri litium dan pengecas mudah alih (powerbank) yang dibawa penumpang dalam kabin pesawat.
Antara teknologi yang diketengahkan ialah TNF™ Air-Pouch iaitu beg kalis api khas yang direka untuk membantu mengurangkan risiko kebakaran berpunca daripada bateri litium yang mengalami peningkatan haba melampau secara tiba-tiba.
Menurut MASSA, peningkatan penggunaan peranti elektronik dalam kalangan penumpang menyebabkan risiko berkaitan bateri litium semakin mendapat perhatian serius di peringkat global.
“Insiden seperti powerbank yang terlalu panas atau terbakar dalam kabin pesawat boleh menjejaskan keselamatan penerbangan jika tidak dikendalikan dengan betul.
“Sehubungan itu, kerjasama ini dilihat sebagai langkah awal bagi menilai keberkesanan teknologi tersebut sebelum sebarang pelaksanaan lebih luas dibuat,” katanya dalam satu kenyataan.

MASSA menegaskan inisiatif ini masih berada pada peringkat awal iaitu libat urus industri dan penilaian teknikal, serta belum mendapat sebarang pengesahan atau pensijilan daripada pihak berkuasa penerbangan.
Namun, usaha ini dianggap penting dalam memperkukuh tahap kesiapsiagaan industri penerbangan terhadap risiko keselamatan baharu yang semakin berkembang.
Selain penilaian teknologi, kedua-dua pihak turut merancang untuk melaksanakan sesi libat urus bersama pemain industri penerbangan di Malaysia bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan.
Inisiatif ini juga dijangka membuka ruang kepada program kesedaran keselamatan penerbangan yang lebih meluas, khususnya berkaitan penggunaan peranti elektronik dalam pesawat.
MASSA menyatakan fokus awal kerjasama ini adalah di Malaysia, namun tidak menolak kemungkinan ia diperluaskan ke peringkat ASEAN pada masa akan datang.
Langkah ini selari dengan usaha berterusan untuk memperkukuh standard keselamatan dan kompetensi dalam sektor penerbangan negara melalui pendekatan latihan berasaskan kompetensi. - DagangNews.com








