Malaysia Aviation Group tempah 20 lagi pesawat A330neo, sokong strategi jangka panjang armada dan rangkaian | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia Aviation Group tempah 20 lagi pesawat A330neo, sokong strategi jangka panjang armada dan rangkaian

Ruang eksklusif Kelas Perniagaan di dalam pesawat baharu A330neo Malaysia Airlines
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 5 Julai – Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk kepada syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines, mengaktifkan hak pembelian 20 lagi pesawat A330neo menerusi tempahan terus dengan Airbus — sekali gus mengukuhkan komitmen jangka panjangnya dalam strategi pembaharuan armada dan pembangunan rangkaian.

 

Dengan tempahan terbaharu ini, Malaysia Airlines bakal muncul sebagai antara pengendali A330neo terbesar di rantau Asia Pasifik — mengukuhkan kedudukan sebagai syarikat penerbangan premium utama di satu daripada pasaran perjalanan yang paling pesat berkembang di dunia.

 

Tempahan ini adalah lanjutan kepada komitmen awal MAG pada 2022 bagi 20 pesawat A330neo — melibatkan 10 pesawat yang dibeli terus dan 10 lagi disewa daripada Avolon — menjadikan jumlah keseluruhan komitmen MAG kepada 40 pesawat A330neo setakat ini. Penghantaran bagi kumpulan tambahan ini dijadualkan bermula antara 2029 hingga 2031.

 

 

A330neo

 

A330neo

 

 

A330neo kekal sebagai tunjang utama dalam program pemodenan armada MAG, membolehkan Kumpulan beroperasi dengan lebih cekap di pasaran berpotensi tinggi selain meningkatkan pengalaman perjalanan secara menyeluruh.

 

Pesawat ini menampilkan rekaan kabin terkini, termasuk Kelas Perniagaan serba suite dengan pintu privasi gelongsor, tempat duduk rata sepenuhnya, dan akses terus ke laluan.

 

Bagi semua kelas kabin, penumpang bakal menikmati rekaan dalaman baharu, tempat duduk generasi baharu serta sistem hiburan dalam penerbangan terkini — menawarkan pengalaman perjalanan premium selaras dengan standard perkhidmatan Malaysia Airlines.

 

 

A330neo

 

A330neo

 

A330neo

 

 

Armada pesawat badan lebar yang diperluas ini akan mempertingkatkan kesalinghubungan dan mendorong pembangunan rangkaian di pasaran utama seperti ASEAN, China, India dan Australasia — sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan premium utama di Asia Pasifik.

 

Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail berkata, “A330neo terus menawarkan keseimbangan terbaik dari segi kecekapan operasi, jarak penerbangan dan keselesaan kabin untuk menyokong strategi rangkaian serta pertumbuhan kami.

 

“Dengan kecekapan bahan api yang lebih baik dan fleksibiliti bagi laluan jarak dekat serta jauh, pesawat ini sangat sesuai dengan keperluan pasaran kami yang sentiasa berubah. Ia juga membolehkan kami menawarkan produk yang selari dengan penjenamaan premium kami — moden, lancar serta direka berasaskan keselesaan dan jangkaan penumpang.

 

“Tempahan tambahan ini sekali lagi mengukuhkan visi jangka panjang kami untuk membina armada masa depan yang menyokong pertumbuhan mampan, menawarkan nilai konsisten kepada penumpang dan memperkukuh daya saing di pasaran utama.”

 

Naib Presiden Eksekutif Jualan Pesawat Komersial Airbus, Benoît de Saint-Exupéry berkata, “Kami berbangga dapat memperkukuh lagi hubungan dengan Malaysia Aviation Group menerusi peluasan armada A330neo ini. Tempahan ulangan ini mencerminkan keyakinan terhadap prestasi cemerlang, kecekapan bahan api dan keselesaan penumpang yang ditawarkan A330neo, sekali gus menjadi bukti populariti pesawat ini dalam kalangan syarikat penerbangan premium dunia.”

 

Setakat ini, MAG telah menerima empat pesawat A330neo yang kini beroperasi di beberapa laluan terpilih termasuk Auckland, Melbourne dan Bali. Enam lagi pesawat dijadualkan diterima menjelang akhir tahun ini, manakala baki pesawat dalam tempahan asal akan diterima secara berperingkat sehingga 2028. - DagangNews.com