KUALA LUMPUR 2 Okt – Mahkamah Tinggi di sini semalam membenarkan permohonan semakan kehakiman Southern Power Generation Sdn Bhd (SPG) yang 70% dimiliki Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk membatalkan lima notis taksiran cukai yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), berjumlah keseluruhan RM78.49 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, TNB memberitahu Mahkamah Tinggi bersetuju dengan hujahan peguam SPG bahawa LHDN tidak mempunyai asas perundangan untuk mengeluarkan notis-notis berkenaan.
Ini sekaligus membawa kepada pembatalan keseluruhan tuntutan cukai yang dikenakan ke atas SPG, sebuah syarikat penjana tenaga bebas (IPP) yang beroperasi di bawah sektor utiliti tenaga negara.
Keputusan tersebut memberi kemenangan penting kepada SPG dalam pertikaian cukai yang berlarutan sejak tahun lalu, melibatkan tahun-tahun taksiran 2017 hingga 2021, dengan kesemua notis bertarikh 26 Mei 2023.
Kes ini didengar pada 8 September lalu sebelum mahkamah menetapkan keputusan pada 1 Oktober 2025.
ARTIKEL BERKAITAN: Southern Power milik TNB dalam perbincangan dengan LHDN bagi merungkai penyelesaian terhadap cukai tambahan RM78 juta
Pada 15 Januari 2024, SPG dilaporkan sedang dalam perbincangan LHDN bagi kemungkinan penyelesaian di luar mahkamah.
Notis penilaian cukai tambahan dikeluarkan kepada Southern Power pada bulan Mei 2023, selepas itu ia meminta izin mahkamah untuk mencabar keputusan LHDN melalui semakan kehakiman.
Mahkamah pada September 2023 memberikan kebenaran kepada SPG untuk meneruskan cabarannya. - DagangNews.com








