Mahkamah Tinggi benarkan semakan kehakiman lima anak syarikat PETRONAS berkait penalti RM120 juta Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mahkamah Tinggi benarkan semakan kehakiman lima anak syarikat PETRONAS berkait penalti RM120 juta Sarawak

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 6 Feb — Mahkamah Tinggi Kuching membenarkan lima anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) untuk memohon semakan kehakiman berhubung penalti kewangan berjumlah RM120 juta yang dikenakan oleh Pengarah Pengagihan Gas Sarawak dan Menteri Utiliti serta Telekomunikasi negeri.

 

Hakim Dean Wayne Daly memutuskan bahawa terdapat isu substantif yang wajar dihujahkan dalam perkara tersebut, selain menyatakan bahawa permohonan kebenaran itu tidak bersifat remeh atau menyusahkan (frivolous atau vexatious) ketika menyampaikan keputusannya pada Jumaat, 6 Februari.

 

Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan penangguhan (stay) terhadap pelaksanaan penalti ke atas syarikat-syarikat berkenaan sementara prosiding semakan kehakiman berjalan.

 

 

 

 

 

 

Mahkamah turut menetapkan 2 Mac sebagai tarikh pengurusan kes.

 

Lima anak syarikat terbabit ialah Malaysia LNG Sdn Bhd, Malaysia LNG Dua Sdn Bhd, Malaysia LNG Tiga Sdn Bhd, PETRONAS Carigali Sdn Bhd dan PETRONAS LNG 9 Sdn Bhd, yang dikenakan penalti kerana gagal memohon lesen untuk beroperasi di Sarawak sebagaimana diwajibkan di bawah Seksyen 7 Ordinan Pengagihan Gas (DGO) Sarawak 2016.

 

Difahamkan, kelima-lima syarikat tersebut menerima sebanyak lapan notis penalti, masing-masing berjumlah RM15 juta, menjadikan keseluruhan penalti mencecah RM120 juta. Di bawah Seksyen 21A DGO, penalti maksimum yang boleh dikenakan adalah RM20 juta bagi setiap kes.

 

Dalam pendengaran terdahulu, peguam pemohon, Khoo Guan Huat dan Alex Ngu berhujah bahawa DGO tidak terpakai ke atas operasi anak-anak syarikat PETRONAS itu. Khoo turut menegaskan bahawa syarikat-syarikat berkenaan sepatutnya dikawal selia di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 di peringkat Persekutuan.

 

 

 

 

 

 

Namun begitu, peguam undang-undang negeri, Datuk Seri JC Fong yang mewakili responden berhujah bahawa anak-anak syarikat PETRONAS tertakluk kepada undang-undang negeri berkaitan pembekalan dan pengagihan gas, memandangkan setiap anak syarikat merupakan entiti perundangan yang berasingan daripada syarikat induknya.

 

Turut hadir mewakili responden ialah peguam kanan negeri, Mohd Adzrul Adzlan dari Pejabat Peguam Negara Negeri, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly hadir bagi pihak Jabatan Peguam Negara Persekutuan. - DagangNews.com