MAHB perluas laluan penerbangan antara China ke KLIA dan Tawau, sokong TMM2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAHB perluas laluan penerbangan antara China ke KLIA dan Tawau, sokong TMM2026

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 22 Jan – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memperkenalkan perkhidmatan penerbangan baharu antara bandar-bandar utama di China ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Tawau di Sabah.

 

Langkah ini terus memperkukuh akses udara antarabangsa menerusi sejajar dengan usaha kumpulan operator lapangan terbang berkenaan dalam menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

 

Dalam satu kenyataan hari ini, pengendali lapangan terbang itu berkata, Shandong Airlines telah melancarkan penerbangan harian Jinan–Kuala Lumpur, dengan penerbangan sulung SC8077 tiba di KLIA awal minggu ini.

 

Menurutnya, laluan baharu itu menyediakan akses terus kepada penumpang dari wilayah Shandong dan kawasan sekitarnya ke pintu masuk utama Malaysia, selain memudahkan pengembara dari Malaysia meneroka warisan budaya wilayah Qilu.

 

Dengan memanfaatkan operasi dua hab Shandong Airlines di Jinan dan Qingdao, MAHB berkata, penumpang turut menikmati kesalinghubungan susulan yang lancar ke seluruh China, sekali gus menyokong pertumbuhan perjalanan dua hala serta memperkukuh pelancongan dan pertukaran ekonomi antara kedua-dua negara.

 

Sementara itu, di Malaysia Timur, MAHB berkata, Lapangan Terbang Tawau mencatat satu lagi pencapaian penting dengan ketibaan penerbangan berjadual pertama Juneyao Air dari Shanghai Pudong, yang dikendalikan menggunakan pesawat A320neo dengan nombor penerbangan HO1361.

 

Katanya, Juneyao Air akan mengendalikan tiga penerbangan seminggu sehingga 24 Oktober 2026.

 

“Dengan penambahan ini, Lapangan Terbang Tawau kini menampung tujuh syarikat penerbangan, menawarkan sambungan terus ke 10 destinasi di empat negara serta mengendalikan purata 39 penerbangan sehari,” katanya.

 

MAHB berkata, penawaran penerbangan baharu itu mencerminkan keyakinan berterusan syarikat penerbangan antarabangsa terhadap ekosistem penerbangan Malaysia. 

 

“Langkah ini juga menyokong strategi jangka panjang kumpulan untuk memperkukuh kesalinghubungan antarabangsa, mempelbagaikan akses pasaran, dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara dengan rangkaian kesalinghubungan paling meluas menjelang 2030,” kata MAHB. - DagangNews.com