KUALA LUMPUR 19 Jan – Tahun 2025 mencatatkan prestasi luar biasa bagi Malaysia Airports Group apabila jumlah penumpang di seluruh rangkaian lapangan terbang globalnya mencecah 153.3 juta, momentum perjalanan yang positif sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani berkata melalui 39 lapangan terbang di Malaysia sahaja, pihaknya telah mengendalikan sebanyak 104.4 juta penumpang, meningkat 11.2% berbanding tahun sebelumnya.
“Bulan Disember 2025 menjadi bulan paling sibuk dengan 10 juta penumpang melalui lapangan terbang di seluruh negara, meningkat 15.5% berbanding Disember 2024.
“Waktu puncak ialah semasa cuti Krismas dan Tahun Baru, apabila lebih satu juta penumpang dikendalikan dalam tempoh tiga hari sahaja.
“Walaupun begitu, operasi tetap berjalan lancar tanpa gangguan besar, menunjukkan kesiapsiagaan pasukan barisan hadapan Malaysia Airports dalam menyediakan perkhidmatan terbaik,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, prestasi ini mencerminkan kekuatan dan keberkesanan perancangan operasi di seluruh rangkaian lapangan terbang.
Beliau menekankan bahawa koordinasi rapat dengan rakan syarikat penerbangan serta dedikasi kakitangan lapangan terbang adalah kunci bagi memastikan pengalaman penumpang tetap lancar, walaupun menghadapi lonjakan trafik yang tinggi.
KLIA terus menjadi tumpuan utama, mengendalikan 6.1 juta penumpang pada bulan Disember dan 63.3 juta penumpang sepanjang tahun, meningkat 10.8% berbanding tahun sebelumnya.
Lapangan Terbang Subang (SZB) pula mencatatkan pertumbuhan bulan-ke-bulan paling tinggi, iaitu 34.4%, meningkat daripada 142,000 kepada 191,000 penumpang.
Dalam pada itu, lapangan terbang lain turut mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan iaitu Kota Kinabalu (BKI) meningkat 23.5% kepada 802,000 penumpang, Langkawi (LGK) naik 23% kepada 290,000, Pulau Pinang (PEN) meningkat 12.2% kepada 772,000, manakala Kuching (KCH) mencatatkan kenaikan 10.3% kepada 540,000 penumpang.
Beliau berkata pertumbuhan trafik yang kukuh ini turut disokong oleh pengembangan rangkaian penerbangan dengan penambahan rakan syarikat penerbangan dan destinasi baharu. Disember 2025 menyaksikan pelancaran pelbagai laluan baharu termasuk perkhidmatan Hangzhou–Kuala Lumpur tiga kali seminggu oleh Xiamen Airlines di Terminal 2, tiga penerbangan mingguan 9 Air dari Hangzhou, dan laluan Qionghai–Kuala Lumpur dua kali seminggu oleh Hainan Airlines.
“Batik Air Malaysia menambah enam perkhidmatan baharu, termasuk ke Osaka (Kansai), Singapura (dari Ipoh, Subang dan Pulau Pinang), Kuala Namu, dan Jakarta (CGK). Firefly menambah lima penerbangan mingguan ke Cebu, manakala Sichuan Airlines menyediakan tiga penerbangan mingguan antara Chongqing dan Kuala Lumpur.
“Selain prestasi di dalam negara, aset Malaysia Airports di luar negara, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen di Türkiye, turut mencatat pertumbuhan memberangsangkan dengan 49 juta penumpang sepanjang tahun, meningkat 17.5% berbanding 2024.
“Pada bulan Disember sahaja, lapangan terbang tersebut mengendalikan 4.2 juta penumpang, menunjukkan kepesatan trafik udara global yang turut memberi kesan positif kepada operasi Malaysia Airports,” katanya.
Malaysia Airports komited terus memberi fokus kepada meningkatkan kesiapsiagaan kapasiti, memperkukuh ketahanan perkhidmatan, dan memperluas kerjasama dengan syarikat penerbangan.
Semua langkah ini diambil bagi memastikan Malaysia mampu menyambut lebih ramai pelancong dengan lancar dan selesa sepanjang TMM 2026, selaras dengan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi yang paling bersambung di Asia Tenggara. - DagangNews.com








