KUALA LUMPUR 6 Julai - Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE) menyantuni kira-kira 23 orang anak-anak yatim berusia 2 hingga 15 tahun menerusi penganjuran program kemasyarakatan Sinar Komuniti UUM bersama Anak-Anak Yatim Pertubuhan Kebajikan Islam Peribadi Mulia, Kajang di Farm Fresh, Serdang, Selangor pada Sabtu.
Program anjuran 35 pelajar Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) PACE UUM Semester April 2025/2026 (JA251) ini bertujuan menyemai nilai keprihatinan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa melalui penglibatan aktif bersama komuniti, khususnya anak-anak yatim.
Program ini juga merupakan sebahagian daripada kursus Kokurikulum Pembangunan Masyarakat III (VKMB2031). Antara aktiviti yang dijalankan termasuk senamrobik ceria, lawatan sambil belajar ke ladang tenusu, sesi motivasi, aktiviti interaktif berkumpulan serta jamuan mesra.
Timbalan Pengarah PACE UUM, Prof Madya Dr. Abdul Aziz Othman berkata program yang dianjurkan ini bukan sahaja menyantuni golongan yang memerlukan, malah menjadi wadah penting dalam membentuk mahasiswa yang berjiwa besar dan berempati.
“Penglibatan aktif mahasiswa dalam aktiviti kemasyarakatan seperti ini mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga mempunyai kesedaran sosial yang tinggi serta keupayaan untuk menyumbang secara bermakna kepada masyarakat.
"Program ini membuktikan bahawa pendidikan bukan sekadar berlaku di dalam bilik kuliah, tetapi juga melalui pengalaman sebenar bersama komuniti,” katanya ketika berucap di majlis penutupan rasmi program tersebut.
Tambah beliau lagi, inisiatif sebegini adalah manifestasi nilai-nilai murni yang menjadi teras pendidikan di UUM. Nilai seperti kasih sayang, tanggungjawab sosial dan semangat perpaduan perlu dipupuk secara berterusan agar mahasiswa dapat berkembang sebagai individu yang seimbang dari segi intelek dan sahsiah.
Dr. Abdul Aziz turut menyatakan komitmen PACE UUM untuk terus menyokong program-program komuniti yang berimpak tinggi dan memberi manfaat langsung kepada golongan yang memerlukan, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan pemimpin masa depan yang prihatin dan berintegriti.
Sementara itu, Pengarah Program Pembangunan Masyarakat III (VKMB2031) Semester April 2025/2026 (JA251), Mohd Khairulnizam Zainodin menekankan bahawa pembelajaran yang berkesan tidak hanya berlaku di dalam bilik kuliah, tetapi juga melalui pengalaman langsung bersama masyarakat.
Katanya, program seperti ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengasah kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi melalui interaksi sebenar dengan komuniti.
Penglibatan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan seperti ini membolehkan mahasiswa memahami realiti kehidupan golongan yang kurang bernasib baik serta membina kepekaan sosial yang tinggi.
“Program ini bukan sahaja memberi impak kepada mahasiswa, tetapi juga kepada anak-anak yatim yang terlibat. Dengan pendekatan pembelajaran luar bilik darjah yang menyeronokkan dan interaktif, anak-anak yatim dapat merasai suasana yang positif, dihargai dan diberi perhatian.
“Kami percaya bahawa pembelajaran sebenar berlaku apabila mahasiswa turun padang dan berinteraksi secara langsung dengan komuniti. Program ini memberi peluang kepada anakanak yatim untuk merasai suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna,” tambahnya lagi.
Penganjuran program ini turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pertubuhan Kebajikan Islam Peribadi Mulia, Kajang, pihak pengurusan Farm Fresh serta pelbagai pihak yang menyumbang secara langsung dan tidak langsung. Ia diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif komuniti yang inklusif dan berimpak tinggi pada masa akan datang. - DagangNews.com







